WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KOMPLEKS PENYIARAN RTM LANGKAWI DIJANGKA SIAP SEPTEMBER INI

19/05/2025 04:59 PM

LANGKAWI, 19 Mei (Bernama) -- Pembinaan Kompleks Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Langkawi di Kuah di sini dijangka siap sepenuhnya pada September ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata setakat ini pihaknya berpuas hati dengan kemajuan projek yang telah mencapai 49 peratus sejak ia diambil alih oleh kontraktor penyelamat pada Oktober 2023.

"Kita lihat dua tahun lalu projek ini berada dalam keadaan sangat tidak memuaskan dan dianggap projek sakit. Setelah diambil tindakan tegas dengan menamatkan kontraktor lama melalui proses bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor penyelamat dilantik dan kita lihat hari ini kemajuan projek menggalakkan dan ia dijangka siap dalam masa ditetapkan.

"Ada beberapa perkara akan diteliti termasuk isu Internet dan peralatan dan paling penting dari segi struktur keseluruhan sudah hampir siap dan hanya beberapa perkara masih perlu diusahakan. Syabas kepada JKR Kedah kerana dapat menyiapkan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Projek Kompleks Penyiaran RTM Langkawi di sini hari ini diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Fahmi berkata pihaknya yakin projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual memandangkan beberapa perkara boleh dilakukan serentak dan disiapkan dalam masa yang sama.

Sebelum ini katanya RTM Langkawi menyewa premis milik Tabung Haji selama lebih kurang 30 tahun dan kontrak sewaan diperbaharui dari semasa ke semasa.

Difahamkan projek kompleks baharu itu menelan kos lebih RM11.4 juta melibatkan pembinaan bangunan yang antaranya dilengkapi ruang pentadbiran, bilik pegawai, bilik tetamu, bilik ICT, bilik mesyuarat, stor, surau, kafeteria dan parkir kenderaan.

Kompleks itu turut menyediakan ruang teknikal penyiaran (broadcast engineering) seperti studio siaran dan rakaman radio, bilik suntingan, bilik kawalan utama, studio berita TV, studio pelbagai guna dan bilik server radio.

Projek tersebut dianggap projek sakit apabila kontraktor terdahulu yang dilantik pada Mac 2021, gagal menyiapkannya di tapak seluas 4.0465 hektar itu justeru ditamatkan perkhidmatan pada 2023.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan sasaran selepas ini adalah untuk menyiapkan projek Kompleks RTM di Bintulu, Sarawak.

"Arahan telah diberikan kepada KSU untuk fokus projek RTM di Bintulu untuk disiapkan bersekali dengan beberapa kuarters kediaman staf RTM yang perlu dilupuskan dan dibangunkan semula," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan