WILAYAH - SELATAN > BERITA

PEMPENGARUH MEDIA SOSIAL MENGAKU BERSALAH CEROBOH RUMAH

19/05/2025 04:22 PM

SEREMBAN, 19 Mei (Bernama) -- Seorang pempengaruh media sosial mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menceroboh sebuah rumah, awal bulan ini.

Nurul Nur Ariani Muhammad Zahar, 41, didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan sebuah rumah di Kampung Chelet, Nilai pada 5 petang 7 Mei.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal menawarkan jaminan RM8,000 dan memohon tarikh baharu untuk mengemukakan fakta kes dan hukuman.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan K. Gejalaxmi mewakili Nurul Nur Ariani, memohon jaminan munasabah kerana anak guamnya bekerja sendiri dan berpendapatan rendah, serta menanggung bapa yang sakit di hospital, empat anak dan seorang adik.

Hakim Mohamad Kamil Nizam membenarkan wanita itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula pada 19 Jun, bagi fakta kes dan hukuman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan