WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEARLY-THINAAH LUPAKAN SEKETIKA ISU KONTRAK, FOKUS MASTERS MALAYSIA 2025

19/05/2025 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Gandingan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah memilih untuk ‘mengunci mulut’ mengenai masa depan mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Thinaah berkata mereka memilih enggan membiarkan isu di luar gelanggang mengganggu tumpuan terhadap kejohanan Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena di sini yang akan berlangsung bermula esok hingga 25 Mei.

“Kami hanya mahu fokus kepada kejohanan. Kami akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas sesi uji gelanggang hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden 1 BAM Datuk V. Subramaniam pada 10 Mei lepas berkata nasib pasangan nombor empat dunia itu bakal ditentukan selepas mereka pulang dari Terbuka Thailand 2025 yang berlangsung dari 13 hingga 18 Mei.

Subramaniam berkata juara baharu Terbuka Thailand itu masih belum menandatangani dan menerima kontrak baharu dengan persatuan.

Semalam, Pearly-Thinaah merangkul gelaran pertama musim ini apabila mereka menewaskan pasangan Korea Selatan Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17 sekali gus dinobatkan juara Terbuka Thailand 2025.

Ditanya sama ada ini masa sesuai untuk meraih kejuaraan berturut-turut, Pearly berkata mereka tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan dan berharap dapat beraksi sebaik mungkin bagi menggembirakan peminat yang senantiasa menyokong mereka. 

“Kami sungguh bersemangat dan teruja untuk bermain di gelanggang sendiri, tetapi seperti biasa kami tidak mahu terlalu memberi tekanan.

“Kejuaraan (Terbuka Thailand 2025) sudah lepas, kini kami mahu fokus kepada Masters Malaysia 2025,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata pihak persatuan akan meneliti isu kontrak Pearly-Thinaah pada masa yang sesuai, selepas kontrak lama mereka tamat pada Disember lepas. 

“Harap bersabar. Kami akan cuba menyelesaikannya dengan cepat, dan sebaik mungkin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan