MELAKA, 18 Mei (Bernama) -- Seorang remaja lelaki cedera parah selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh kenalannya dalam insiden pergaduhan di Kampung Paya Sum di sini, dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun disyaki ditikam lelaki berusia 23 tahun disebabkan isu hutang.
"Pada mulanya, polis menerima laporan daripada suspek mengatakan dia serta kenalannya berusia 17 tahun itu ditikam dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal dan kes dipercayai akibat samun.
"Namun hasil siasatan lanjut, kita percaya lelaki berusia 23 tahun itu yang menikam mangsa kerana remaja berkenaan didakwa mempunyai hutang dengannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Christopher berkata mangsa kini dirawat di Hospital Melaka manakala suspek yang berasal dari Johor dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan judi ditahan di Taman Pahlawan Sungai Udang di sini kira-kira 6.15 petang Jumaat.
Beliau berkata lelaki itu turut menerima rawatan di Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial