WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEPAK TAKRAW PIALA ASIA 2025: MALAYSIA MARA SEPARUH AKHIR ACARA REGU BERPASUKAN

16/05/2025 11:23 PM

KUALA LUMPUR 16 Mei (Bernama) -- Malaysia mengesahkan slot ke separuh akhir acara regu berpasukan di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, selepas meraih kemenangan kedua dalam kumpulan B selepas menumpaskan Jepun 3-0 di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.

Regu pertama negara yang dibarisi trio Amirul Zazwan Amir (pengumpan), Muhammad Syahir Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) menyumbang mata pertama negara selepas menang 15-11, 15-7.

Momentum tersebut kemudiannya diteruskan regu kedua negara Farhan Adam (pengumpan), Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong) dan Muhammad Noraizat Nordin (perejam), apabila menang 15-8, 15-9 untuk mata kedua negara.

Regu ketiga negara Aidil Aiman Azwawi (pengumpan), Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong) dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali (perejam), memastikan kemenangan 3-0 berpihak kepada Malaysia selepas menang 15-8, 15-8.

Mengulas berkenaan perlawanan tersebut ketua jurulatih pasukan sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun mengakui, ketiga-tiga regu negara yang diturunkan pada malam ini masih belum mencapai tahap terbaik.

“Kita harap untuk perlawanan akhir esok menentang Korea Selatan, pemain yang diturunkan dapat memperkemaskan lagi jentera pertahanan dan serangan mereka supaya dapat menampilkan aksi yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu Malaysia berjaya meraih kemenangan pertama Kumpulan B selepas menewaskan Brunei 3-0 pada aksi yang berlangsung di sebelah pagi.

Malaysia akan turun pada esok petang menentang Korea Selatan bagi aksi terakhir peringkat kumpulan, untuk penentuan juara dan naib juara Kumpulan B.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan