WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAJA CHARLES KINI PADA "FASA YANG LEBIH BAIK" DALAM USAHA MELAWAN KANSER

16/05/2025 06:35 PM

LONDON, 16 Mei (Bernama-PA Media/dpa) -- Raja Charles III dari United Kingdom secara terbuka berkongsi mengenai rawatan kanser dan percaya yang baginda kini berada pada “fasa yang lebih baik” dalam usaha melawan penyakit itu, lapor PA Media/dpa.

Kenyataan itu dibuat oleh Raja Charles kepada seorang bekas pesakit kanser yang ditemuinya semasa lawatan bersama Permaisuri Camilla ke Bradford pada Khamis bagi meraikan status bandar raya itu sebagai Bandar Raya Budaya UK.

Baginda menerima rawatan berterusan sejak kira-kira 15 bulan lalu selepas disahkan menghidap sejenis kanser yang tidak didedahkan pada awal 2024.

Raja Charles meningkatkan beban kerjanya pada awal tahun ini berikutan kemajuan positif dalam rawatannya dan perkara itu diteruskan walaupun baginda mengalami “gangguan kecil” apabila terpaksa menjalani rawatan singkat di hospital akibat kesan sampingan rawatan kanser pada Mac.

Baginda dijadualkan berlepas ke Kanada pada akhir Mei untuk pembukaan parlimen negara Komanwel itu dan selepas tempoh musim panas yang sibuk, akan menjadi tuan rumah kepada lawatan negara oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron, walaupun ketika itu biasanya jadual diraja mula berkurangan.

-- BERNAMA-PA Media/dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan