WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TERGAMAM, YANG MANA SATU NAK SELAMATKAN DULU - PEGAWAI BOMBA

16/05/2025 12:05 PM

Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin

TELUK INTAN, 16 Mei (Bernama) -- Tergamam - itu reaksi Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Fazli Shahril Che Ad sejurus tiba di lokasi kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di sini, Selasa lepas.

Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan berkata kesan darah, tangisan mangsa dan suasana hiruk-pikuk menambah kebuntuan bagi memulakan operasi menyelamat tambahan pula melihat tiga mangsa yang parah tersepit di hadapan trak FRU.

“Jeritan minta tolong dari pelbagai arah, sampai tergamam yang mana satu nak bantu dulu. 

“Selaku komander operasi saya kena kuatkan hati dan fokus untuk mengeluarkan ketiga-tiga mereka. Alhamdulillah, kami dapat keluarkan mereka melalui beberapa kaedah dan serahkan kepada petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Nahas pada 8.54 pagi membabitkan pertembungan trak FRU dengan lori muatan batu itu turut menyebabkan lima anggota pasukan berkenaan cedera parah manakala empat lagi cedera ringan.

Kenderaan dinaiki 18 anggota FRU termasuk pemandu itu dalam perjalanan pulang ke lpoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Menara Condong Teluk Intan. 

Muhammad Fazli, 33, yang berasal dari Kedah berkata dengan kekuatan 12 anggota BBP Teluk Intan, pihaknya mengambil masa kira-kira 28 minit bagi operasi menyelamat kesemua mangsa.

Bagaimanapun, katanya rasa terkilan tetap menyelubungi apabila usaha mereka gagal menyelamatkan nyawa sembilan wira negara.

“Kami tiba di tempat kejadian pada 9.12 pagi dan operasi tamat pada 9.40 pagi selepas semua mangsa dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak KKM.

"Rasa terkilan apabila pihak KKM memaklumkan lapan daripada mangsa meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi di Hospital Teluk Intan,” katanya.

Seorang lagi pegawai bomba, Mohd Khusni Saidin, 47, menyifatkan nahas itu paling tragis dan menduga emosinya sepanjang 18 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

“Memang kami dah lali dengan insiden membabitkan kemalangan ngeri, cuma tak seramai ini dan membabitkan anggota pasukan beruniform,” katanya.

Mohd Khusni berkata hatinya sayu mendengar rayuan meminta pertolongan seorang daripada tiga mangsa yang tersepit di hadapan trak.

“Saya dan beberapa rakan terus menuju ke arah mangsa yang berlumuran darah berulang kali meminta tolong supaya diselamatkan,” katanya sambil menambah melihat ada mangsa terbaring di atas jalan raya.

Beliau berkata meskipun operasi menyelamat berlangsung dalam suasana tegang, ia berjalan lancar dengan kerjasama pihak polis yang mengawal aliran trafik.

Insiden itu, katanya akan terus dikenang dan menjadi sebahagian sejarah kepadanya selaku anggota penyelamat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan