WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIAM GESA BELIA MEMANFAATKAN PEK PERMULAAN I-MULA 50

15/05/2025 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menggesa golongan belia Malaysia dan pembeli insurans pertama untuk memanfaatkan pek permulaan i-MULA 50 sementara dana itu masih tersedia, dengan baki hanya RM2.4 juta bagi pemohon yang layak di seluruh negara.

Disasarkan untuk mempromosikan keterangkuman kewangan serta perlindungan risiko di kalangan belia, pek permulaan i-MULA 50 menawarkan subsidi RM50 untuk pembelian perlindungan insurans hayat yang asas, terutamanya di kalangan pembeli insurans kali pertama.

Ia dilancarkan pada 28 Ogos 2024 bersempena dengan ulang tahun ke-50 LIAM selain bertujuan menjadikan insurans hayat lebih mudah diakses dan mampu dimiliki untuk 100,000 rakyat Malaysia yang berkelayakan.

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O'Dell melalui satu kenyataan berkata i-MULA 50 adalah pengubah keadaan dalam merapatkan jurang perlindungan untuk golongan belia Malaysia.

"Saya menggalakkan semua orang untuk memanfaatkan peluang ini bagi mendapatkan pelan perlindungan yang melindungi diri dan orang yang mereka sayangi terhadap peristiwa yang tidak dijangka.

"Premium bersubsidi di bawah dana ini menjadikan liputan insurans hayat asas jauh lebih mudah diakses, terutamanya untuk pembeli kali pertama yang sebelum ini berasakan ia tidak mampu," katanya.

LIAM berkata lebih daripada 53,000 polisi telah dikeluarkan di bawah dana RM5 juta tersebut, sehingga mencecah subsidi sebanyak RM2.6 juta.

"Dana RM5.0 juta ini, yang diasaskan oleh syarikat anggota LIAM, menyokong pembeli kali pertama dalam membeli perlindungan insurans hayat melalui 33 pelan perlindungan yang berpatutan, meliputi manfaat seperti kematian, kecacatan tetap dan menyeluruh (TPD), penyakit kritikal, perbelanjaan perubatan serta pendapatan hospital," kata persatuan itu.

Premium tahunan untuk pelan ini berkisar dari RM75 hingga RM600, dengan pemegang polisi perlu menyumbang sekurang-kurangnya RM25 dalam pembayaran premium untuk menerima subsidi RM50. 

"Keperluan ini memastikan pemegang polisi memahami dan menghargai perlindungan yang mereka beli," katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan