WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAMBUTAN JUBLI EMAS RUKUN TETANGGA PERINGKAT KEBANGSAAN 28, 29 OGOS - AARON

15/05/2025 08:29 PM

SEGAMAT, 15 Mei (Bernama) -- Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga peringkat kebangsaan akan diadakan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasipillay, di Kuala Lumpur pada 28 Ogos ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sambutan turut akan diadakan pada hari berikutnya di Galaxy Hall, Sentul, di ibu negara. 

“Selari dengan peredaran zaman dan lima dekad KRT bertapak di negara ini, saya ingin mengumumkan bahawa ‘Memperkasa Komuniti, Mengukuh Perpaduan’ akan menjadi slogan baharu bagi KRT,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Johor dan Prapelancaran Jubli Emas Rukun Tetangga 2025 di Dataran Segamat, di sini hari ini.

 Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Roslan Che Daud.

Aaron berkata penubuhan KRT di Kampung Kasipillay pada 29 Ogos 1975 menjadi titik tolak kepada pembentukan KRT di seluruh negara dan inisiatif berkenaan adalah antara dasar paling berkesan dalam membina jati diri rakyat yang bersatu padu.

“Ia bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, malah menjadikan rakyat sebagai ejen perubahan dalam mencorakkan masa depan negara,” katanya.

Aaron berkata pada 2024, sebanyak 152 Rukun Tetangga dimodelkan sebagai penggerak komuniti progresif, inisiatif untuk melonjakkan lagi peranan Rukun Tetangga dalam komuniti di negara ini.

Pada majlis berkenaan, Aaron turut melancarkan logo baharu KRT.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas sambutan berkenaan, Aaron berkata setakat ini terdapat sebanyak 8,529 KRT di seluruh negara dengan 20 peratus pengerusi KRT terdiri daripada golongan belia sekali gus membuktikan komitmen anak muda dalam memperkukuh perpaduan komuniti setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan