WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH TINGGI TOLAK SAMAN CABAR UNDANG-UNDANG DAGANGAN ORANG DALAM

15/05/2025 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman sivil difailkan bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif Malaysian Merchant Marine Berhad (MMM) Datuk Ramesh Rajaratnam, yang mencabar kesahihan undang-undang dagangan orang dalam di Malaysia.

Saman itu difailkan terhadap Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kerajaan Malaysia.

SC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Hakim Datuk Amarjeet Singh yang membuat keputusan itu, memutuskan bahawa saman pemula difailkan Ramesh merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah dan memerintahkan kos RM5,000, dibayar masing-masing kepada SC dan Kerajaan Malaysia.

Ramesh pada 10 Sept 2024, memulakan saman sivil bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) bertentangan dengan Perkara 5(1), 8(1) dan (2), 10(1)(a) dan 13 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah terbatal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa serta-merta.

Susulan itu, SC memfailkan permohonan pada 8 Okt 2024 untuk membatalkan saman sivil tersebut, atas alasan bahawa ia dihalang oleh prinsip res judicata, merupakan satu penyalahgunaan proses dan satu serangan sampingan terhadap sabitan jenayahnya oleh Mahkamah Sesyen serta rayuan jenayah yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, Ramesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 29 April 2015 atas tiga pertuduhan dagangan orang dalam di bawah seksyen 188(2)(a) CMSA.

Beliau telah disabitkan selepas perbicaraan penuh dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun serta denda RM3 juta (jika gagal, penjara tiga tahun) bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun apabila membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi, sabitan dan hukuman Ramesh bagi ketiga-tiga pertuduhan itu telah diketepikan, atas alasan peniruan kehakiman oleh hakim perbicaraan.

Mahkamah Rayuan kemudiannya telah mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap pertuduhan pertama selepas rayuan oleh pendakwa raya, dan memulangkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan atas merit.

Perbicaraan rayuan berdasarkan merit masih belum didengarkan di Mahkamah Tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan