WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HARGA UBAT: FASILITI KESIHATAN SWASTA MULA KEMAS KINI, SEDIA SENARAI

15/05/2025 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Tahap pematuhan terhadap perintah pemaparan harga ubat menunjukkan perkembangan positif, dengan kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di ibu kota dan beberapa negeri mula menyahut inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

Tinjauan Bernama mendapati fasiliti kesihatan dan farmasi sedang dalam proses menyediakan senarai harga ubatan, namun memerlukan sedikit masa untuk melaksanakannya.

Di Kuala Lumpur, pegawai perubatan di Poliklinik dan Pembedahan Peters Dr Theiva Amirta berkata premisnya sedang menyediakan senarai harga ubat, namun memerlukan sedikit masa untuk mengemas kini senarai sebelum boleh dipaparkan kepada umum.

“Kita bukannya beli ubat yang sama sepanjang masa sebab adakalanya bila kehabisan bekalan ubat, kita perlu mengambil ubat lain yang kualitinya lebih baik. Jadi, kami perlu sentiasa mengemas kini senarai harga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan supaya penguatkuasaan pemaparan harga ubat yang dikuatkuasakan bermula 1 Mei lepas, diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), yang lebih memahami bidang perubatan.

Pekerja Klinik Asia Natasha Adila pula berkata kliniknya memerlukan masa untuk memaparkan harga ubat dan menyifatkan langkah itu membantu pesakit membuat perbandingan, namun memberi kesan kurang baik kepada klinik swasta.

Di Perlis, pekerja farmasi yang hanya mahu dikenali sebagai Su, 34, berkata premis tempat beliau bekerja telah melaksanakan langkah memaparkan harga ubat untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan sebelum membeli ubat yang diperlukan.

“Kita letakkan tanda harga ubat supaya pelanggan boleh tengok sendiri dan buat keputusan ikut kemampuan masing-masing. Ini pastinya memudahkan mereka,” katanya.

Inisiatif itu turut disambut baik oleh nenek kepada lapan cucu Salhah Ismail, 60, dari Sabah, yang menyifatkan langkah kerajaan itu sangat membantu dalam mengambil kira kos yang diperlukan untuk pembelian ubatan.

Di Kelantan, pesara kerajaan Abidin Abdullah, 65, berkata menyedari kos rawatan dan perubatan kian meningkat, langkah yang diambil kerajaan itu amat membantu khususnya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah mendapatkan ubatan dengan harga yang terbaik.

Inisiatif pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti berkuat kuasa 1 Mei lepas, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan agenda ketelusan harga melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat.

Pelaksanaan inisiatif itu bagi memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga terbaik dalam merancang perbelanjaan ubatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan