WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KETUA NATO PUJI PERANAN DIPLOMATIK TURKIYE MENJELANG RUNDINGAN UKRAINE-RUSIA

15/05/2025 05:12 PM

ISTANBUL, 16 Mei (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Mark Rutte pada Khamis memuji pengaruh diplomatik unik Turkiye menjelang rundingan damai yang dijangka diadakan antara Ukraine dan Rusia, serta menggesa perpaduan dalam kalangan anggota pakatan itu di tengah-tengah perselisihan faham yang berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Turkiye memainkan peranan besar kerana mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan kongsi yang berkaitan dan dilihat sebagai tempat yang boleh dipercayai,” kata Rutte kepada pemberita sebaik tiba bagi hari kedua mesyuarat menteri luar NATO di Antalya, selatan Turkiye.

Walaupun Ukraine telah memberi isyarat kesediaan untuk berdialog, Rutte menekankan bahawa keupayaan Turkiye untuk mempertemukan kedua-dua pihak menjadikannya unsur penting dalam sebarang rundingan akan datang.

“Anda mempunyai tokoh – menteri luar anda, presiden anda – yang boleh membantu menjayakan rundingan ini,” katanya.

Mesyuarat di Antalya dijangka memberi tumpuan kepada isu Ukraine, kerjasama senjata dan usaha meningkatkan kapasiti perindustrian pakatan itu.

Delegasi Rusia akan diketuai Pembantu Kremlin Vladimir Medinsky, menurut agensi berita Rusia, TASS.

Pegawai Amerika Syarikat (AS) turut dijangka hadir ke Turkiye dengan Presiden AS Donald Trump sebelum ini memaklumkan bahawa Setiausaha Negara Marco Rubio dan beberapa pegawai lain akan ke Istanbul bagi menghadiri rundingan mengenai Ukraine.

Rundingan langsung antara Rusia dan Ukraine kali terakhir diadakan di Istanbul pada Mac 2022, ketika minggu-minggu awal pencerobohan berskala penuh Rusia, menurut laporan media antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan