WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PBB, QATAR, CAIR SOKONG LANGKAH TRUMP HAPUS SEKATAN KE ATAS SYRIA

14/05/2025 11:09 AM

WASHINGTON, 14 Mei (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Qatar dan Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menyambut baik keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menarik balik sekatan ke atas Syria, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Utusan Khas PBB bagi Syria, Geir Pedersen, berkata langkah itu selaras dengan gesaan rakyat Syria di dalam dan luar negara agar sekatan dilonggarkan dengan lebih cepat.

“Ia penting bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan asas, merangsang ekonomi dan membuka semula sokongan serantau,” katanya menerusi hantaran di X.

Kementerian Luar Qatar menyifatkan keputusan Trump sebagai “langkah penting” ke arah kestabilan dan kemakmuran Syria.

Qatar turut merakamkan penghargaan kepada Turkiye dan Arab Saudi atas usaha mereka, selain menegaskan sokongan kepada kedaulatan serta integriti wilayah Syria.

CAIR, pertubuhan hak sivil Islam terbesar di AS, menyifatkan langkah itu sebagai “tindakan yang dialu-alukan” dalam usaha membolehkan rakyat Syria membina semula negara mereka.

“Kami turut menggesa Presiden Trump agar mendesak Israel menghentikan pengeboman ke atas Syria dan menamatkan penjajahan haramnya,” kata Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad.

Terdahulu pada Selasa, Trump mengumumkan di Forum Pelaburan Arab Saudi-AS di Riyadh bahawa beliau akan menarik balik sekatan “kejam dan melumpuhkan” ke atas Syria bagi memberi negara itu “peluang untuk bangkit semula.”

Presiden Syria Ahmed al-Sharaa tiba di Riyadh pada hari sama bagi menghadiri pertemuan dengan Trump.

Lawatan Trump ke Arab Saudi merupakan permulaan kepada siri lawatan ke negara Teluk, termasuk Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kerajaan peralihan telah dibentuk di Syria pada Januari lalu susulan kejatuhan rejim Bashar al-Assad, yang melarikan diri ke Rusia pada Disember.

Sekatan yang dikenakan sejak 2011 sering dipersalahkan sebagai punca utama yang menghalang proses pemulihan pascaperang Syria.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan