WILAYAH - UTARA > BERITA

GUDANG SIMPAN KABEL ELEKTRIK MUSNAH DALAM KEBAKARAN

14/05/2025 10:38 AM

BUTTERWORTH, 14 Mei (Bernama) -- Sebuah gudang menyimpan kabel elektrik di Taman Inderawasih, Perai di sini musnah dalam kebakaran lewat petang semalam, dan selepas 12 jam, operasi pemadaman sepenuhnya oleh pihak bomba berlarutan hingga pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata jentera pertama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai bergegas ke lokasi sejurus selepas pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 6.59 petang.

"Kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan kabel elektrik berkeluasan 2,400 kaki persegi dan ketika pihak bomba tiba, api sedang marak dengan kebakaran telah memusnahkan 90 peratus bangunan dua tingkat tersebut.

“Kebakaran dapat dikawal pada 7.59 malam namun kerja-kerja "overhaul" masih dijalankan di lokasi sehingga pukul 8.30 pagi ini dan ia (kerja overhaul) menjadi agak sukar akibat runtuhan lantai dan bumbung bangunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja "overhaul" masih berbaki 20 peratus dan pihak bomba sedang bekerja keras melaksanakan kerja-kerja tersebut dengan teliti bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

John Sagun berkata tiada mangsa terlibat dalam kebakaran itu dan operasi pemadaman dijalankan lebih 100 pegawai dan anggota bomba BBP Jalan Perak, Bandar Perda, Sungai Bakap serta Butterworth, dan mereka turut dibantu oleh 11 Pasukan Bomba Sukarela.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan