KOTA BHARU, 14 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Senoi Praaq menahan empat individu yang dipercayai memasuki Malaysia secara tidak sah melalui pangkalan haram Tok Awang Belulang dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada Isnin lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dalam operasi pada 3.15 petang itu, anggota PGA yang melakukan rondaan telah mengesan kumpulan terbabit, namun pemandu bot bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum meninggalkan penumpangnya di tebing sungai.
"Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek merupakan lelaki tempatan berumur 30 tahun manakala tiga lagi termasuk dua wanita ialah warganegara Thailand berumur 20-an dipercayai memasuki negara ini tanpa dokumen sah.
"Lelaki tempatan itu ditahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, sementara tiga warga Thailand berkenaan ditahan di bawah Seksyen 6(1) akta yang sama sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata dua lelaki yang ditahan itu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan awal dilakukan terhadap mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial