WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS: DUA TAHUN UNTUK BINA SEMULA, BAIK PULIH RUMAH TERJEJAS

13/05/2025 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjangkakan kediaman yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada awal bulan lepas dapat dibina dan dibaik pulih sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata setakat ini, kerja-kerja membina dan membaik pulih 219 kediaman penduduk yang terjejas mengikut pelan dan jangka masa ditetapkan.

“Kontraktor kini giat menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan membina kediaman yang musnah, saya harap dalam tempoh kurang dua tahun kita dapat siapkan rumah baharu untuk mangsa terlibat … yang musnah sepenuhnya kita bina rumah baharu untuk mereka manakala rumah boleh dibaiki, kita baik pulih,” katanya.

Beliau ditemui Bernama sebelum menjadi tetamu dalam rakaman program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk “UN-HABITAT: Malaysia Sedia Terajui Pembangunan Mampan Global” di Wisma Bernama di sini hari ini.

Nga berkata kerajaan menerusi KPKT memperuntukkan RM46 juta bagi proses membaik pulih rumah dan infrastruktur awam yang terjejas dalam insiden letupan terbabit.

Insiden kebakaran saluran paip gas pada 1 April lepas menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 21 rumah tidak terjejas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan