LENGGONG, 13 Mei (Bernama) -- Kerja-kerja awal pembinaan Pondok Polis Kekal Kampung Beng, di sini dengan peruntukan RM11.3 juta akan dilakukan tahun ini membabitkan kawasan seluas dua hektar berdekatan kampung berkenaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pembinaan pondok polis kekal itu bertujuan memudahkan perkhidmatan, seperti aduan atau laporan polis dibuat oleh penduduk Kampung Beng dan kampung sekitar mengenai masalah yang menimpa mereka.
"Malah, ia juga dilihat sebagai pelengkap kepada aspek keselamatan apabila siap jajaran baharu antara Kampung Beng ke Intan Suraya (Sungai Siput) dengan pengguna dari Pantai Timur akan menggunakan laluan itu untuk mengelakkan kesesakan yang berlaku di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengoperasian Pondok Polis Sementara Kampung Beng, di sini hari ini.
Shamsul Anuar berkata dengan adanya kemudahan pondok polis kekal itu, ia juga akan memberi lebih keyakinan kepada pelancong dalam dan luar negara untuk berkunjung ke kampung berkenaan yang merupakan antara lokasi pelancongan negeri.
Mengulas mengenai pondok polis sementara, beliau berkata kemudahan itu dibina pada 10 Okt 2024 dan siap sepenuhnya pada 30 April lepas, serta mula beroperasi hari ini melibatkan kekuatan tiga anggota polis yang ditempatkan setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
"Langkah ini kita lakukan sebelum pondok polis kekal siap sepenuhnya, selain memudahkan penduduk membuat aduan kerana sebelum ini mereka terpaksa ke Balai Polis Lenggong yang agak jauh," katanya yang turut berterima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong atas bantuan dalam merealisasikan kewujudan kemudahan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial