ALOR GAJAH, 13 Mei (Bernama) -- Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini, atas dakwaan melakukan pengabaian hingga menyebabkan kecederaan parah pada anak kandung mereka yang berusia dua bulan, pada awal bulan ini.
Nur Khairunnisa Jusni dan Muhamad Nor Azmi Abdullah, masing masing berusia 22 tahun didakwa mendedahkan bayi lelaki berkenaan dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Seri Pelangi 4, Taman Seri Pelangi, dalam daerah Alor Gajah antara 2 Mei hingga 5 Mei.
Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain mencadangkan agar tiada jaminan dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh, memandangkan kes tersebut serius namun menyerahkan keputusan kepada budi bicara mahkamah.
Peguam Mohammed Hissham Ramdzan yang mewakili kedua-dua pasangan suami isteri itu, merayu agar satu jaminan rendah dikenakan, memandangkan pertuduhan adalah secara bersama selain Muhamad Nor baharu sahaja bekerja manakala Nur Khairunnisa baru habis pantang dan hanya seorang suri rumah.
Hakim Aiza Khairuddin menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, di samping syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi telah dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh ibunya, untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.
Pakar perubatan di Hospital Melaka mengesyaki bayi itu didera dan membuat laporan polis selepas pemeriksaan dilakukan, termasuk imbasan CT yang mendapati terdapat kecederaan baharu dan lama dalam kepala selain kesan lebam, luka di badan dan leher.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial