WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAKSI DENGAR DENTUMAN KUAT, JERITAN ANGGOTA FRU DI LOKASI KEMALANGAN

13/05/2025 03:51 PM

TELUK INTAN, 13 Mei (Bernama) -- Dentuman kuat kedengaran sebelum suasana berubah menjadi kelam-kabut apabila anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergegas semasa cuba menyelamatkan rakan yang terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan pasir di sini, pagi tadi. 

Peniaga gerai makan Airul Amri Abd Hamid, 31, semasa menceritakan peristiwa itu berkata beliau sedang membuat persiapan untuk membuka gerai apabila tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat sekitar 8.50 pagi, menyebabkan beliau bergegas ke lokasi kejadian. 

“Keadaan agak kelam-kabut kerana ramai anggota di lokasi. Mereka (lori pasukan) berkonvoi, dan apabila sebuah daripada kenderaan terlibat kemalangan, kenderaan lain di depan berhenti untuk membantu.. ramai menjerit melihat rakan mereka terlibat (kemalangan). 

“Suasana begitu pilu melihat mereka berusaha membantu rakan, dan ada mangsa dari kenderaan FRU terbabit yang masih bernafas. Anggota FRU yang lain bantu mengangkat dan menyusun rakan mereka di tepi jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Airul Amri berkata beliau turut melihat ada anggota FRU berkenaan tersepit dalam kenderaan.

Sementara itu seorang pembantu gerai Noor Ain Asyiqin Abdul Khalel, 38, berkata beliau melihat ramai anggota FRU bergegas turun dari sebuah lagi lori pasukan itu dan berlari ke arah kenderaan yang terbalik akibat kemalangan itu. 

“Mereka berlari sambil menjerit Allahuakbar dan ada memanggil nama rakan mereka. Memang dengar orang meraung dan menangis kerana ada (anggota) yang sampai di lokasi beritahu terdapat mangsa sudah pucat dan parah,” katanya. 

Beliau berkata kawasan itu memang sering berlaku kemalangan dengan tiga kejadian berlaku dalam tempoh enam bulan, namun beliau berkata insiden hari ini paling menyayat hati kerana melibatkan kehilangan nyawa. 

Pagi tadi Ketua Polis Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, semasa konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena Hari Wesak di sini.  

Semua mayat terlibat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan