WILAYAH - UTARA > BERITA

KPDN KEDAH BONGKAR KEGIATAN SIMPAN MINYAK DIESEL DI BENGKEL

13/05/2025 01:38 PM

ALOR SETAR, 13 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah membongkar kegiatan penyimpanan minyak diesel tanpa lesen atau permit sah, di sebuah bengkel besi buruk dan pembaikan jentera berat di sekitar Mergong dekat sini, semalam.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan menerusi Op Tiris 2025 pada 8.30 pagi, menemukan 2,500 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM7,200 dalam 13 tong drum berkapasiti 200 liter setiap unit.

“Kesemua minyak itu disita bersama beberapa peralatan digunakan untuk memindahkan barang kawalan tersebut, menjadikan anggaran nilai sitaan keseluruhan RM7,790,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah merakam percakapan seorang lelaki tempatan berusia 60-an yang merupakan pemilik premis dan kes disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“KPDN ingin mengingatkan mereka yang ingin berurus niaga atau menyimpan barang kawalan supaya mendapatkan kebenaran atau lesen sah. Pihak menyalahgunakan barang kawalan akan diambil tindakan tegas,” katanya.

Muhammad Nizam berkata orang awam mempunyai maklumat aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi boleh membuat aduan menerusi portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my, atau pusat panggilan 1-800-886-800 atau pejabat KPDN Kedah di talian 04-7001745.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan