WILAYAH - UTARA > BERITA

PULAU PINANG NEGERI PERTAMA TUBUH MAJLIS PEMBANGUNAN INDUSTRI HALAL

12/05/2025 06:42 PM

BUTTERWORTH, 12 Mei (Bernama) – Pulau Pinang melakar sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal, atau singkatannya MPIHPP, sebagai langkah memperkukuh sektor itu ke arah pembangunan progresif dan mampan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penubuhan MPIHPP membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai hab utama pengeluaran, pemprosesan serta pengeksportan produk halal ke pasaran ASEAN dan antarabangsa.

Beliau berkata Pulau Pinang juga menjadi satu-satunya negeri yang menjalankan pengauditan peranti perubatan berdasarkan kesemua sembilan Skim Pensijilan Halal Malaysia (SPHM).

“Penubuhan MPIHPP merupakan langkah strategik sejajar dengan dasar nasional termasuk Dasar Halal Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang berperanan memperkukuh tadbir urus halal secara sistematik, telus dan bersepadu.

“Selain itu, ia memperluas jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, pemain industri, komuniti dan institusi pendidikan tinggi serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan sektor halal yang inklusif, berimpak tinggi dan berorientasikan eksport,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran MPHIPP di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia.

Mengulas lanjut, Chow berkata penubuhan Penang Halal International (PHI) di bawah Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI) memainkan peranan penting dalam pembangunan industri halal melalui pensijilan, pengukuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta menarik pelaburan halal dari dalam dan luar negara. 

Beliau berkata sinergi antara CMI dan PHI membentuk asas yang kukuh kepada daya tahan serta daya saing sektor halal negeri dan kerjasama tersebut akan terus digembleng melalui platform MPIHPP.

 Timbalan Ketua Menteri I yang juga Pengerusi MPIHPP Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata majlis itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 Jan lepas melibatkan penyertaan 25 jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau berkata MPIHPP ditubuhkan bagi menyelaras peranan agensi dalam pembangunan industri halal secara menyeluruh di Pulau Pinang dan setakat April lepas, negeri itu mencatatkan 870 syarikat aktif yang memiliki sijil halal SPHM meliputi sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, logistik, rumah sembelihan serta peranti perubatan.

“SPHM membolehkan usahawan bumiputera bersaing secara lebih kompetitif di peringkat global dan meningkatkan sosioekonomi dengan lebih baik dan kerajaan negeri juga akan meneruskan inisiatif sokongan seperti program pembangunan kapasiti untuk usahawan PKS bagi memperoleh pensijilan halal dan pemadanan perniagaan halal dengan pemain industri global,” katanya.

Terdahulu, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan PHI turut diadakan bagi menjalin kerjasama serta meninjau peluang untuk membangun, menyokong dan memperkasa program pembangunan usahawan melalui pensijilan halal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan