WILAYAH - TIMUR > BERITA

KADA AMBIL LANGKAH PROAKTIF ELAK TANAMAN PADI TERJEJAS KETIKA MONSUN BARAT DAYA

11/05/2025 03:27 PM

KOTA BHARU, 11 Mei (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) telah mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan tanaman padi terjejas sepanjang musim Monsun Barat Daya.

Pengerusinya Khalid Abdul Samad berkata antara usaha yang dilakukan ialah memastikan bekalan air tidak terjejas, melakukan operasi pembersihan tali air dan saliran, kesediaan stesen Pam Kemubu 3 dan mengukuhkan baki ‘sheet pile’.

Beliau berkata pihaknya turut menerima RM20 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah peruntukan pascabanjir untuk pembaikan infrastruktur, pembaikan jalan ladang serta penyelenggaraan tali air.

"Kita harap dengan adanya Stesen Pam Kemubu 3 serta usaha untuk mengukuhkan baki sheet pile yang akan siap tidak lama lagi dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan air terutamanya ketika cuaca kering.  

"Selain itu, operasi pembersihan tali air dan saliran juga menunjukkan impak positif dalam memastikan kelancaran bekalan air kepada tanaman. Kita juga akan menggunakan benih dan baja yang lebih terjamin ketika musim ini untuk memastikan hasil dapat dituai dengan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Majlis Perhimpunan Pagi Pengerusi KADA bersama warganya di Ibu Pejabat KADA di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Besar KADA Mohd Faizul Mustafa.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Monsun Barat Daya yang bermula pada 10 Mei dijangka berterusan hingga September ini susulan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau ini.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya kini dalam perancangan untuk menyasarkan pengeluaran padi sebanyak lapan tan sehektar setelah kejayaan merekodkan pengeluaran padi sebanyak lima tan sehektar pada musim lepas.

"Hasil tuaian padi setakat hari ini sudah merekodkan 44,931.9 tan. Ia merupakan jumlah yang sangat besar berbanding pada musim pertama iaitu sekitar 11,997 tan. Walaupun kita baru buat (menuai) sekitar 43 peratus tetapi hasilnya lebih berbanding musim lepas. 

"Produktiviti untuk satu hektar padi yang mampu dikeluarkan telah mencecah lima tan berbanding musim lepas hanya empat tan. Ada yang telah mencapai  lapan tan tetapi hanya di kawasan tertentu sahaja,” katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan