WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UMNO BUKAN PARTI NOSTALGIA, TAPI PENERAJU MASA DEPAN - AZALINA

11/05/2025 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- UMNO masih kekal berdiri hari ini bukan kerana nostalgia semata-mata, sebaliknya kerana rakyat terus meyakini peranannya sebagai penjaga maruah agama dan bangsa, pengimbang kuasa dalam kerajaan serta penentu hala tuju masa depan negara, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam surat terbuka sempena sambutan ulang tahun ke-79 UMNO hari ini, beliau berkata ulang tahun ini bukan sekadar untuk mengingati sejarah, tetapi menjadi lambang kepada nilai kebijaksanaan, kesetiaan dan kecekalan UMNO dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“UMNO bukan sebuah parti yang muncul akibat dendam atau kekecewaan. UMNO adalah institusi politik yang lahir daripada perjuangan bangsa. UMNO kekal utuh kerana menjunjung disiplin dalam kepimpinan, membina keyakinan bersama akar umbi, dan sentiasa menyambut perubahan dengan berani demi kelangsungan perjuangan,” katanya.

Beliau berkata disiplin merupakan asas kekuatan UMNO yang membentuk cara kepimpinan, menyatukan ahli dalam perbezaan, dan memastikan parti terus bergerak dengan tertib dan teratur.

“Disiplin bukan sekadar soal peraturan. Ia adalah cerminan maruah, kematangan dan komitmen kita terhadap perjuangan,” katanya sambil menambah ribuan persidangan cawangan yang sedang berlangsung membuktikan nilai ini terus subur dalam setiap lapisan kepimpinan dan keahlian UMNO.

Azalina berkata kehadiran yang tinggi ke persidangan cawangan di seluruh negara menjadi petanda jelas bahawa UMNO terus diyakini oleh akar umbinya sebagai wadah utama perjuangan bangsa.

Beliau berkata budaya disiplin turut terserlah dalam setiap pilihan raya yang disertai apabila jentera parti tampil dengan kesatuan dan ketertiban yang mengagumkan.

“Mereka hadir bukan sekadar sebagai sukarelawan, tetapi sebagai pejuang yang memahami amanah. Mereka berganding bahu, bergerak dengan semangat, dan menyempurnakan tugas tanpa menuntut balasan,” katanya.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata UMNO tidak hanya mempertahankan legasi, sebaliknya sedang membina masa depan dengan pelbagai inisiatif seperti Sekolah Patriotik UMNO dan pengukuhan jentera digital bagi melahirkan generasi pelapis yang celik sejarah, mahir teknologi dan memahami denyut nadi rakyat.

“Saya menyeru seluruh keluarga besar UMNO untuk menjadikan ulang tahun ke-79 ini bukan sekadar detik peringatan, tetapi titik permulaan. Mari kita buktikan bahawa UMNO bukan satu peninggalan sejarah, tetapi peneraju masa depan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan