Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Sektor maritim Malaysia termasuk pelabuhan, tidak kalis terhadap impak dari perang tarif, yang berpotensi menjejaskan banyak syarikat kecil jika kos kargo perkapalan melonjak.
Penganalisis industri maritim terkemuka, Nazery Khalid berkata jika tarif yang tinggi ini dilaksanakan selepas jeda 90 hari, pengimport besar mungkin dapat menyerap kos tambahan tetapi syarikat kecil yang lemah mudah tunai akan terencat kewangan mereka, sekali gus, menyebabkan barangan terkandas di pelabuhan.
Ini bermaksud jika mereka menerima konsainan yang bertarif tinggi, ianya akan menjejaskan kewangan syarikat-syarikat yang lebih kecil sehingga membawa kepada timbunan kargo dan caj penyimpanan yang mahal, seterusnya membebankan rantaian bekalan martitim serta pelabuhan, katanya.
Sekarang ini telah terwujud kebimbangan memandangkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, yang berada di kalangan 20 pelabuhan kontena tersibuk di dunia serta terlibat dalam pergerakan kargo global, berpotensi menghadapi kemelesetan perniagaan.
Ketegangan yang semakin memuncak antara kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat (AS) dan China yang timbul daripada tarif timbal balas ini telah mencetuskan kesan riak negatif di seluruh dunia, yang sangat mempengaruhi perdagangan maritim global.
Memandangkan Malaysia amat bergantung kepada perdagangan, ia tidak dapat lari daripada impak kenaikan tarif AS iaitu pada 24 peratus.
Sebelum ini, industri perkapalan sudah pun terjejas akibat Covid-19, ketidaktentuan harga minyak serta ketegangan global, kini terpaksa bergelut dengan peningkatan kos penghantaran, kesesakan pelabuhan dan rantaian bekalan yang rapuh.
Tarif juga boleh mengganggu rangkaian pembuatan sedia ada, dengan pengeluar yang lebih kecil berkemungkinan kehilangan pembekal luar negara yang kritikal akibat ketegangan kewangan.
“Pengimport dengan kewangan yang mantap akan mampu menanggung kenaikan tarif termasuk levi tambahan tetapi syarikat kecil tanpa mudah tunai yang besar tidak akan mengambil apa-apa kargo dan menyebabkan barangan berkenaan terkandas di pelabuhan,” kata Nazery kepada Bernama.
“Ini akan menyebabkan kargo dibawa balik ke pelabuhan asal oleh pengeksport/pembekal, jika gagal, mereka hanya akan meninggalkan barang-barang tersebut di pelabuhan destinasi (dan) ini akan menyebabkan pelabuhan mengenakan caj penahanan yang mahal kepada pengimport, seterusnya, mengakibatkan lambakan kargo di pelabuhan,” katanya.
Ini membebankan pelabuhan dan menyebabkan krisis di sepanjang rantaian bekalan maritim, kargo yang terperap akan mengambil masa yang agak lama untuk dikurangkan.
Sekali lagi, penganalisis itu berkata, industri perkapalan akan mendapati dirinya dalam situasi yang menuntut agar semua pihak campur tangan.
Perang tarif ini merupakan perkembangan geopolitik yang paling penting yang mampu mempengaruhi ekonomi global ketika pihak industri masih cuba pulih daripada cabaran Covid-19, selain ketengangan geopolitik, harga minyak dan kadar perkapalan masih tidak menentu.
Menambah kepada ketegangan itu adalah peningkatan dalam kos penghantaran, kesesakan pelabuhan dan dermaga yang telah dipacu oleh lambakan jumlah kargo selain kerapuhan yang berlarutan dalam rantaian bekalan global.
“Satu lagi kesan dari langkah Trump (Presiden AS) adalah gangguan yang teruk terhadap susunan sedia ada rantaian bekalan pembuatan yang telah mengambil masa yang lama untuk diperkukuhkan dan berkembang,” katanya.
Pengilang menghadapi ancaman kehilangan pembekal yang dipercayai dari luar negara memandangkan mereka tidak lagi dapat mengekang masalah kewangan yang timbul akibat perlu membayar tarif yang lebih tinggi.
“Walaupun pengeluar biasanya mempunyai pelbagai sumber pembekal di beberapa lokasi lain, mereka yang tidak ada pembekal alternatif yang berdaya saing serta boleh dipercayai berbanding sedia ada akan menyaksikan paling banyak kerugian,” kata Nazery.
Langkah Penempatan Kembali Trump: Rahmat untuk Malaysia?
Nazery berkata syarikat-syarikat pengeluaran AS yang berada di luar negara yang dipengaruhi oleh tarif tidak akan secara automatik kembali ke tanah air mereka walaupun langkah-langkah perlindungan kerajaan AS ini diperkasakan bagi melindungi kepentingan negara dengan mengenakan tarif yang tinggi ke atas import.
“Susunan rantaian bekalan dan ekosistem pembuatan global yang mantap menentukan bahawa syarikat-syarikat terbabit akan mencari lokasi dengan kos pengeluaran yang paling rendah; ketersediaan buruh yang banyak dan murah; kedekatan dengan bahan mentah, komponen dan pasaran sasaran, infrastruktur perdagangan yang baik termasuk regim institusi yang memudahkan mereka.
“Mereka mungkin akan mencari negara dengan rejim tarif yang lebih rendah dan bukannya memindahkan operasi mereka kembali ke AS secara serta-merta,” katanya.
Beliau berkata ini dapat memberi kelebihan kepada negara-negara seperti Malaysia untuk menarik syarikat-syarikat pembuatan AS dengan pelbagai insentif dan syarat-syarat terbaik yang mampu ditawarkan.
Westports Holdings Bhd melaporkan bahawa kadar tarif di kalangan negara-negara perdagangan global utama menokok ke tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya berikutan dekad globalisasi serta tekanan inflasi yang terhasil dapat menghalang kuasa membeli dan penggunaan pengguna, meningkatkan risiko kelembapan ekonomi, bahkan kemelesetan di negara-negara perdagangan utama.
Perdagangan kontena yang lebih rendah boleh muncul sebagai impak jangka pendek. Bagaimanapun, penyusunan semula perdagangan serantau dan dinamisme ekonomi Asia sebahagiannya dapat mengurangkan tekanan ke bawah pada jumlah kontena, kata pengendali pelabuhan itu.
“Ketidakpastian serta pelarasan interim boleh menjejaskan pertumbuhan perdagangan kontena tetapi keseimbangan baharu, dinamisme ekonomi Asia dan komitmen Malaysia terhadap perdagangan multilateral akan membina semula garis dasar baharu untuk pertumbuhan jangka panjang masa depan yang berterusan.
“Kami mahu mengekalkan panduan yang kami berikan pada awal tahun ini iaitu pertumbuhan satu angka yang rendah. Kami fikir ianya masih awal untuk membuat sebarang perubahan sekarang. Jika ada keperluan, kami akan melakukannya kemudian,” kata syarikat itu.
Pengarah Urusan Suria Capital Holdings Bhd, Datuk Ng Kiat Ming berkata subsidiarinya, Sabah Ports Sdn Bhd terus memantau pelaksanaan tarif AS dan potensi impak terhadap aliran perdagangan serantau.
Setakat ini, Sapangar Bay Container Port (SBCP) tidak mengalami apa-apa kesan negatif dari tarif, malahan pelabuhan tersebut telah mencatatkan prestasi positif pada suku pertama 2025, dengan jumlah pemprosesan bertambah 11 peratus dari tahun ke tahun untuk tempoh Januari hingga Mac.
“Terutama pada Mac 2025 telah menyaksikan kenaikan sebanyak 23 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelum ini, mencerminkan lonjakan yang sihat dalam aktiviti perkapalan serantau dan permulaan yang agak mantap. Pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh perdagangan intra-Asia termasuk peningkatan kehadiran syarikat perkapalan serantau yang berlabuh di SBCP,” katanya ketika dihubungi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial