WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DOKTOR GIGI RUGI RM300,440 TERPERDAYA TAWARAN KERJA TIDAK WUJUD

08/05/2025 09:23 PM

GEORGE TOWN, 8 Mei (Bernama) -- Seorang doktor gigi kerugian RM300,440 selepas terperdaya sindiket penipuan pekerjaan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata warga emas berusia 72 tahun itu menjadi mangsa selepas menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada 7.49 malam, 28 Feb lepas.

"Ketika berada di rumahnya, mangsa menerima mesej daripada nombor tidak dikenali yang menawarkan pekerjaan dalam talian yang menjanjikan keuntungan hingga 15 peratus.

"Mangsa yang bersetuju dengan tawaran itu diminta membuat bayaran kononnya bagi menampung kos harga barang ditempah pelangggan serta turut diarahkan mendaftar akaun perniagaan melalui satu aplikasi yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata mangsa telah memindahkan wang RM300,440 bermula 10 Mac hingga 17 April lepas melibatkan 11 akaun bank berbeza menerusi 17 transaksi dan berasa curiga apabila tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

Abdul Rozak berkata suspek terus mendesak mangsa membuat bayaran tambahan, namun mangsa  mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembayaran kerana mengesyaki ditipu.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan