WILAYAH - UTARA > BERITA

DUA LELAKI DITAHAN DISYAKI TERLIBAT PROSES, JUAL AIR KETUM

08/05/2025 09:07 PM

GEORGE TOWN, 8 Mei (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dan merampas 85 kilogram (kg) daun ketum serta 1,500 bungkusan air ketum dianggar bernilai RM9,300 dalam serbuan di sebuah rumah di Batu Maung, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata kedua-duanya yang berusia 23 tahun ditahan pada 5 petang, hasil risikan dan intipan pihaknya.

“Kesemua daun ketum terbabit ditemukan dalam 17 beg plastik hitam manakala 1,500 bungkusan air ketum itu di dalam lima tong.

“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah peralatan disyaki untuk memproses air ketum seperti periuk dan tong gas petroleum cecair (LPG),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kedua-dua penganggur berkenaan dipercayai menyewa rumah itu sejak enam bulan lepas bagi menjalankan kegiatan memproses air ketum dengan air terbabit dijual pada harga serendah RM5 kepada pembeli di kawasan sekitar.

Mereka akan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan