WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAINS & TEKNOLOGI, INOVASI AKAN PACU WAWASAN EKONOMI DIGITAL DAN HIJAU ASEAN - TENGKU ZAFRUL

08/05/2025 08:50 PM

SERDANG, 8 Mei (Bernama) --  ASEAN perlu menerima guna sains dan teknologi serta mencipta inovasi untuk memperkasa wawasan ekonomi digital dan hijau rantau ini secara mampan, bagi membantu mencapai cita-citanya menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini merupakan antara sebab 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) turut merangkumi pembangunan cadangan dan garis panduan dasar untuk menyokong Pelan Hala Tuju Pelaksanaan Kenderaan Elektrik (EV) ASEAN.

“Ini menandakan langkah penting dalam menyelaras inisiatif pengawalseliaan dan infrastruktur serantau untuk memacu pertumbuhan ekosistem EV yang teguh dan mampan di seluruh ASEAN,” katanya pada pelancaran Malaysia Autoshow (MAS) 2025, di sini, hari ini.

Beliau berkata Standard Pertukaran Bateri ASEAN merupakan antara contoh wawasan rantau ini yang sedang dalam pelaksanaan, bertujuan untuk menyelaraskan infrastruktur pengecasan EV melalui standard seragam di seluruh ASEAN.

"Penyelarasan ini bukan sahaja mengurangkan kos operasi dan menarik lebih banyak pelaburan, tetapi juga meningkatkan kemudahan, kebolehcapaian dan keyakinan pengguna. Ini memastikan peralihan mobiliti hijau yang lebih lancar dan berkesan serta mengukuhkan penerajuan kita dalam sektor ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata daya tahan sebenar dalam sektor automotif bergantung kepada integrasi rantaian bekalan serantau yang lebih kukuh.

“Dengan memupuk rantaian bekalan pelengkap dan pasaran membangun dalam ASEAN, kita boleh meningkatkan lagi kecekapan pengeluaran, mengurangkan pergantungan kepada pasaran luar, dan membina ekosistem automotif yang lebih tangkas dan teguh.

“Dengan setiap negara anggota mempunyai kekuatan uniknya tersendiri, kita boleh menjadikan ASEAN sebagai hab global untuk penyelesaian mobiliti mampan dan generasi akan datang,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Malaysia mengukuhkan sumbangannya kepada wawasan ASEAN melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Misi utama pelan ini adalah sasaran sifar bersih (pelepasan karbon) kita, yang merangkumi inisiatif strategik menumpukan kepada e-mobiliti, untuk menjadikan Malaysia lebih hijau, lebih bertenaga dan makmur menjelang 2030.

“Melalui dasar yang jelas, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berazam untuk membimbing industri meningkatkan rantaian nilai agar kekal berdaya saing dan berdaya tahan di tengah-tengah gangguan teknologi yang pesat dan peralihan dinamik perdagangan (global),” katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, beliau berkata negara berbangga menerajui usaha membentuk agenda politik, ekonomi dan sosial rantau ini.

ASEAN, blok ekonomi kelima terbesar di dunia dengan keluaran dalam negara kasar sebanyak US$3.8 trilion (US$1=RM4.22), berada dalam situasi yang memerlukan ia membuat pilihan penting. 

“ASEAN perlu kekal tangkas, dinamik dan bersatu dalam mengharungi cabaran getir global seperti perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

"Cara kita menangani isu tarif AS sebagai satu blok adalah kunci kepada trajektori pertumbuhan masa depan rantau ini. Bagi tujuan ini, beberapa bahagian daripada 18 PED kita adalah berkaitan dengan penaikan taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN, serta memajukan rangka kerja berasaskan perdagangan ASEAN dengan China, India dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC)," katanya.

MAS 2025, diadakan bagi tahun ketiga berturut-turut, menampilkan 200 peserta pameran dan lebih 500 kenderaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan