WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELUDUP SYABU: LELAKI TEMPATAN DIBERKAS DI LAPANGAN TERBANG MIRI

08/05/2025 07:25 PM

MIRI, 8 Mei (Bernama) -- Cubaan seorang lelaki tempatan untuk menyeludup masuk dadah dipercayai syabu seberat 10.5 kilogram (kg) berjaya digagalkan pihak polis dalam satu serbuan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata lelaki berusia 20 tahun yang berasal dari pedalaman negeri ini ditahan sebaik sahaja mengambil sebuah kotak di ruang tuntutan bagasi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kotak berkenaan mengandungi 10 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine yang disorokkan di bawah lapisan bungkusan makanan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas 120 pod vape yang mengandungi cecair disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 986 gram dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM380,000.

Mohd Farhan berkata siasatan awal mendapati suspek yang merupakan penganggur dipercayai ke Kuala Lumpur untuk mengambil bungkusan berkenaan.

“Ini bukan kali pertama suspek membawa bungkusan seumpama ini. Jumlah dadah yang dirampas kali ini boleh digunakan kira-kira 10,681 penagih,” katanya dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau turut menasihatkan golongan muda agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja bergaji tinggi di media sosial yang berpotensi menjadikan mereka sebagai keldai dadah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan