BATU GAJAH, 8 Mei (Bernama) -- Tidak dibayar gaji sejak Disember tahun lepas sehingga terpaksa berhutang dengan kedai runcit berdekatan untuk meneruskan hidup, malah pasport juga dipegang majikan, demikian derita yang ditanggung 55 pekerja asing yang menjadi "hamba" di sebuah kilang dekat Lahat, di sini.
Bagaimanapun, kesengsaraan mereka serta enam pekerja tempatan itu berakhir apabila diselamatkan sepasukan anggota polis dalam serbuan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Op Pintas Mega Pemerdagangan Orang, pagi tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata kesemua pekerja asing itu berumur lingkungan 19 hingga 45 tahun terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal manakala enam pekerja tempatan berusia 35 hingga 60 tahun.
“Kesemua warga asing yang ditahan itu merupakan lelaki manakala enam pekerja tempatan itu pula terdiri daripada tiga lelaki serta tiga wanita dewasa.
“Pihak polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 58 tahun dipercayai majikan yang berperanan sebagai pengurus di kilang yang telah beroperasi sejak 28 tahun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di kilang memproses kayu untuk membuat perabot itu, di sini.
Noor Hisam berkata hasil maklumat yang diperoleh daripada beberapa mangsa memaklumkan mereka terpaksa berhutang dengan pengusaha kedai runcit berdekatan bagi membeli pelbagai barangan keperluan harian terutama makanan.
“Kita juga dimaklumkan bahawa kesemua pasport mangsa dipegang oleh majikan bagi memastikan mereka tidak melarikan diri dari kilang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kesemua mangsa akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Pusat Perlindungan Ke-4 (RP4) Tanjung Kling, Melaka, hari ini.
“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JTK Perak Mohd Nizar Zakaria berkata pihaknya mengesan kesalahan yang dilakukan majikan berkenaan berpandu kepada Akta Kerja 1955 serta Seksyen 24(D) di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].
“Antara kesalahannya adalah kegagalan membayar gaji, kelewatan bayaran gaji, potongan gaji tidak sah, tiada kontrak sah serta gagal menyediakan penginapan yang sesuai untuk para pekerja,” katanya.
Mohd Nizar berkata penguatkuasaan yang dilakukan itu juga amat penting sebagai langkah proaktif dalam membanteras ketidakpatuhan terhadap mana-mana akta perburuhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial