WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TARIKH KONGRES NASIONAL AMK, WANITA KEADILAN DISELARAS SEMULA PADA 23 MEI

08/05/2025 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Tarikh pelaksanaan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Nasional Wanita Keadilan diselaraskan semula pada 23 Mei ini.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata penyelarasan semula tarikh itu adalah susulan permohonan rasmi yang dikemukakan AMK dan Wanita Keadilan semalam, yang mengambil kira kebimbangan terhadap kekangan logistik dan komitmen kerja perwakilan sekiranya kongres diadakan pada 21 dan 22 Mei ini seperti ditetapkan sebelum ini.

“Penyelarasan ini diambil demi memastikan kelancaran pelaksanaan kongres serta memberi ruang yang lebih selesa kepada semua perwakilan untuk menyertai proses demokrasi parti secara aktif dan efektif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata majlis perasmian bersama Kongres Nasional AMK dan Kongres Wanita Keadilan akan diadakan seperti yang dijadualkan pada 8 malam 22 Mei di JB Expo, Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru.

Kongres Nasional AMK dan Kongres Nasional Wanita Keadilan akan diteruskan pada 23 Mei ini dari 7 pagi hingga 6 petang di lokasi yang telah ditetapkan.

Pemilihan Parti 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan (MPWK) juga akan berlangsung pada hari sama.

Pemilihan MPAMK berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru manakala pemilihan MPWK di Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan