LABUAN, 7 Mei (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menekankan pertukaran idea menerusi Dialog Strategi Inovasi di Milano Innovation District (MIND), Itali sebagai peluang untuk menambah baik strategi pembangunan bandar di Wilayah Persekutuan.
“Dialog ini menghimpunkan pakar pembangunan bandar dari pelbagai negara.
“Ia merupakan platform penting untuk menilai semula pendekatan, strategi dan inovasi dalam membangunkan bandar yang bukan sahaja menarik dari segi visual tetapi benar-benar bermakna untuk penduduknya,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada Bernama malam ini.
Dr Zaliha berkata beberapa negara memberi keutamaan kepada kesejahteraan komuniti dalam perancangan bandar dengan kejayaan diukur bukan hanya melalui infrastruktur fizikal tetapi juga melalui penciptaan rasa kebersamaan, kesejahteraan mental dan fizikal rakyat, serta meningkatkan kualiti hidup secara menyeluruh.
“Pendekatan ini amat selari dengan matlamat kita di Wilayah Persekutuan yang menekankan pembangunan berteraskan insan.
“Kita membawa konsep bandar CHASE yang menggalakkan pertumbuhan seimbang, melihat bandar bukan semata-mata sebagai pemacu ekonomi, tetapi juga sebagai ruang kehidupan yang mampan dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan yang mencerminkan nilai-nilai berkenaan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
“Pertukaran idea di forum seperti ini amat penting. Ia membolehkan kita belajar daripada pengalaman negara lain dan pada masa sama berkongsi amalan terbaik kita di peringkat antarabangsa demi manfaat rakyat dan masa depan bandar-bandar kita,” katanya.
Dr Zaliha kini berada di Milan bagi menyertai Dialog Strategi Inovasi yang dianjurkan oleh Perikatan Inovasi Bandar di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Pada 1 Jan lepas, Dr Zaliha mengumumkan visi Bandar CHASE untuk mentransformasi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan menjadi bandar yang Clean (bandar bersih), Healthy City (bandar sihat), Advanced City (bandar maju), Safe City (bandar selamat) dan Eco Friendly City (bandar mesra alam).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial