WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CURI KENDERAAN: GENG ALONG JEP TUMPAS, EMPAT LELAKI DITAHAN

05/05/2025 08:23 PM

KLANG, 5 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Along Jep’ yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan lama dengan penahanan empat lelaki warga tempatan dalam beberapa serbuan Op Lejang di sekitar Klang Selatan antara 10 hingga 30 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata kesemua suspek berumur antara 25 hingga 40 tahun dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak hujung tahun lepas.

Beliau berkata selain Klang Selatan, kumpulan berkenaan juga didapati aktif mencuri kenderaan di Klang Utara, Shah Alam dan Kuala Selangor dengan menyasarkan kereta lama seperti Perodua Kancil, Proton Iswara, Proton Iriz serta motosikal antaranya Honda EX5 dan Yamaha Y15.

"Turut ditemui bersama-sama suspek adalah enam buah kereta termasuk satu rangka dan enam motosikal serta satu rangka. 

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai 30 rekod jenayah lampau diikuti 22 kes berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini hari ini.

Mohd Zaini berkata siasatan mendapati kenderaan yang dicuri tidak dijual sebaliknya digunakan sendiri oleh suspek selepas menukar nombor pendaftaran dan mencuri kenderaan lain untuk mendapatkan alat ganti.

Beliau berkata kumpulan itu hanya menggunakan teknik asas bagi mencuri kenderaan dengan menjadikan kecuaian orang ramai peluang untuk melakukan jenayah.

“Dengan tangkapan ini, polis percaya telah berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal dan sembilan kenderaan jenis lama di kawasan Klang Selatan dan daerah berdekatan,” katanya.

Mohd Zaini berkata kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan