WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MESYUARAT PEGAWAI KANAN ASEAN MENGENAI MAKLUMAT KE-22 BERMULA HARI INI

05/05/2025 08:40 AM

Daripada Aisha Hani Nor Azmir

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (SOMRI) ke-22 dan Mesyuarat Berkaitan bermula hari ini.

Mesyuarat dua hari itu, yang berlangsung di sebuah hotel di sini, menghimpunkan para perwakilan kanan negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang maklumat dan media.

SOMRI ke-22 antara lain akan membincangkan serta menangani isu baharu muncul seperti maklumat palsu, maklumat salah, keterangkuman digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI) beretika dan transformasi digital.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menerajui delegasi Malaysia.

Turut serta dalam delegasi Malaysia ialah Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan (JaPen) Muhammad Najmi Mustapha dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Norhani Mohamad Adzhar. 

Delegasi itu juga dianggotai Pengarah II (ASEAN dan Dua Hala) Fatin Nabiha Ab Aziz, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak serta pegawai kanan lain daripada Kementerian Komunikasi dan agensinya.

Menyusuli pada Selasa ialah Mesyuarat SOMRI Campur Tiga (China, Jepun dan Korea Selatan) ke-8 dan Mesyuarat SOMRI Campur Jepun ke-5.

Bertemakan MAJU-Media Advancing Joint Understanding: Transforming Media’s Role in Advancing Cooperation and Mutual Understanding in ASEAN, SOMRI diadakan bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang penyiaran, media dan kandungan digital di samping menyokong inisiatif yang memupuk identiti ASEAN serta integrasi serantau.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan