Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 2 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Thailand akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Kementerian Pengangkutan untuk membincangkan dasar dua hala serta isu-isu berkaitan, sebagai usaha memperkasa sektor pengangkutan kedua-dua negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa telah dikemukakan kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Suriya Juangroongruangkit.
"Kewujudan Jawatankuasa Kementerian Pengangkutan Malaysia-Thailand ini diharapkan dapat menyelesaikan pelbagai isu berkaitan dasar serta mengatasi kekangan operasi.
"Dalam tempoh tiga bulan akan datang, kita berharap dapat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi kerjasama di peringkat tertinggi antara Kementerian Pengangkutan bagi membincangkan isu-isu dua hala," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.
Terdahulu, Loke mengadakan lawatan kerja sehari ke Thailand dan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya.
Beliau turut melawat Stesen Bang Sue Central Terminal dan mendengar taklimat mengenai perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi.
Loke berkata lawatan kerja kali ini memperkukuh persefahaman antara Malaysia dan Thailand, khususnya dalam bidang pengangkutan.
"Kami turut berbincang mengenai kerjasama dalam aspek teknikal dan pembelian kereta api secara bersama untuk mendapatkan nilai yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata bahawa perbincangan seperti ini penting untuk membantu operasi dan melancarkan perkhidmatan kereta api antara kedua-dua negara.
"Yang paling utama, kami berharap ia dapat mengintegrasikan sistem pengangkutan kereta api Malaysia dengan Thailand, seterusnya menyambung rangkaian ke peringkat ASEAN. Ini adalah sebahagian daripada usaha merealisasikan Rangkaian Kereta Api Pan-Asia," katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial