KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyederhana kepada 4.0 peratus pada 2025 berbanding 5.1 peratus pada 2024.
Unjuran pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan domestik, kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini.
MIDF Amanah berkata unjuran terbarunya juga mengambil kira perdagangan luar akan berkembang pada kadar yang lebih perlahan, dengan jangkaan penyusutan terhadap permintaan daripada pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), susulan kenaikan tarif yang diumumkan oleh kerajaan AS.
“Kami menjangkakan Malaysia mampu mengekalkan pertumbuhan memandangkan penggunaan domestik akan terus berkembang disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif, peningkatan dalam pendapatan, program bantuan tunai berterusan daripada kerajaan dan peningkatan perbelanjaan pelancong walaupun ketegangan perdagangan yang semakin memuncak akan terus menjejaskan prospek perdagangan luar,” katanya.
Bagaimanapun, MIDF Amanah tidak menolak kemungkinan bahawa ketidaktentuan dasar dan permintaan luar yang lebih lemah secara ketara akan terus mengehadkan aktiviti dalam sektor berorientasikan eksport, yang boleh memberi kesan yang lebih besar kepada sektor-sektor tertentu seperti pembuatan, perlombongan dan pertanian.
“Walaupun kami tidak melihat keperluan untuk beralih ke arah pelonggaran dasar buat masa ini, tetapi terdapat ruang yang mencukupi untuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan memberikan sokongan kepada ekonomi sekiranya momentum pertumbuhan melemah dengan ketara,” katanya.
Ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar yang sederhana, walaupun momentum pertumbuhan dijangka perlahan dengan Indeks Pelopor (IP) pada Februari 2025 kekal tidak berubah berbanding setahun lalu, manakala Indeks Serentak pula mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh 2.0 peratus tahun ke tahun, mencecah 127.2 mata.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi tahunan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan 112.4 mata pada Februari 2025, mencerminkan penurunan kecil sebanyak 0.004 mata.
Ini terutamanya disebabkan oleh penyusutan ketara dalam Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (-34.5 peratus) dan Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (-21.5 peratus).
“Di sebalik cabaran daripada tarif yang lebih tinggi dan potensi permintaan luar yang lebih lemah, permintaan domestik yang kukuh, perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan dan pelaburan yang lebih tinggi dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi negara tahun ini,” kata MIDF Amanah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial