WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRU2025 SINGAPURA: PAP SANDARKAN KEKUATAN PADA STABILITI DAN REKOD PENTADBIRAN

02/05/2025 08:25 PM

Oleh Vijian Paramasivam & Voon Miaw Ping

PHNOM PENH, 2 Mei (Bernama) -- Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang telah mentadbir Singapura sejak 1965, menghadapi Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) dengan kekuatan berpaksikan reputasi sebagai pentadbir yang stabil, cekap serta komited terhadap pelaksanaan dasar pasca pilihan raya - faktor yang menurut penganalisis masih mendapat tempat dalam kalangan pengundi biarpun wujud persaingan politik yang semakin sengit dan perubahan dalam harapan pengundi.

Profesor Madya Dr Rahul Mishra, pensyarah bidang kerajaan dan politik Asia Tenggara di Pusat Kajian Indo-Pasifik, Universiti Jawaharlal Nehru, India berkata, dominasi pilihan raya PAP berpunca daripada asas kukuh tadbir urus baik dan pelaksanaan janji yang dibuat selepas pilihan raya.

“Berbeza dengan negara Asia Tenggara lain yang turut menyaksikan dominasi parti tunggal selama beberapa dekad, PAP tidak pernah goyah dalam komitmennya terhadap tadbir urus baik, malah tidak menunjukkan kelemahan ketara dalam penyampaian dasar.

“Maka, ya, tampaknya sekali lagi pengundi akan memilih kestabilan, kemakmuran dan tadbir urus yang cekap,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama ketika ditanya mengenai hala tuju pilihan raya itu.

Ditanya sama ada corak pengundian kali ini akan berubah dengan ketara, Mishra berpandangan bahawa walaupun terdapat perkembangan baharu dan momentum yang semakin meningkat dalam kalangan parti pembangkang, perubahan yang berlaku dijangka tidak cukup signifikan untuk mencetuskan kejutan ketara.

“Namun begitu, peluang kemenangan beberapa calon tertentu dilihat meningkat,” kata beliau.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, pakar hal ehwal antarabangsa Datuk Ilango Karuppannan berkata meskipun perkembangan global semasa berpotensi memberi tekanan terhadap ekonomi yang lebih luas, faktor ini sebenarnya boleh dimanfaatkan oleh PAP.

Beliau berpandangan bahawa ketidaktentuan global yang meningkat, termasuk dasar ekonomi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dijangka mengalihkan tumpuan kempen pilihan raya daripada isu-isu tempatan kepada aspek pengurusan makroekonomi dan daya tahan negara.

“Di sinilah kelebihan  PAP terserlah - reputasinya dalam perancangan jangka panjang, kestabilan serta kecekapan mengemudi cabaran global,” kata Profesor Adjung Hal Ehwal Serantau dan Global di Universiti Malaya itu.

Justeru, daripada memberi kesan negatif kepada PAP, dasar Trump mungkin mengukuhkan naratif bahawa hanya kerajaan yang berpengalaman dan berwibawa mampu mengemudi Singapura dalam persekitaran global yang mencabar. Ini mengalihkan tumpuan kepada keutuhan dasar, bukan janji populis - satu medan yang umumnya menjadi kekurangan pembangkang,” katanya.

Ilango, bekas diplomat yang pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, turut menjangkakan PAP akan kembali membentuk kerajaan, meskipun pertandingan pilihan raya dijangka lebih sengit.

Beliau berkata, di negara seperti Singapura yang mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sekitar US$85,000, isu-isu yang mempengaruhi tingkah laku pengundi lebih bersifat peribadi - merangkumi pekerjaan, perumahan, penjagaan warga emas dan kemudahan awam - sekali gus membuka ruang kepada parti-parti kecil untuk menarik sokongan dengan menyentuh kebimbangan bersifat setempat.

“(Namun) dalam keadaan tidak menentu, pengundi mungkin cenderung memilih kestabilan dan pengalaman yang ditawarkan oleh PAP,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan