Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 2 Mei (Bernama) -- Kenderaan elektrik (EV) nasional Malaysia, Proton e.MAS 7, kini dalam misi mencatat rekod ASEAN menerusi penjelajahan konvoi pelbagai negara yang pertama dan terpanjang di bawah inisiatif ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025), yang diterajui Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Konvoi AUD 2025 yang menampilkan Proton e.MAS 7 akan merentasi 40 bandar di sembilan negara melalui dua laluan berasingan, meliputi jarak sejauh 9,000 kilometer dalam tempoh 35 hari.
Laluan utara bermula dari Hanoi, Vietnam, dan melalui Laos, Kemboja serta Thailand sebelum tiba di Malaysia. Sementara itu, laluan selatan bermula di Manila, Filipina, dan merentasi Sabah, Brunei, Sarawak, Indonesia dan Singapura sebelum kembali ke Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz berkata dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, konvoi ini mencerminkan komitmen kukuh negara dalam memperkukuh integrasi serantau, mempromosi mobiliti mampan serta memacu inovasi.
Azrul menekankan bahawa inisiatif ini turut menyerlahkan iltizam ASEAN terhadap pelancongan, kerjasama ekonomi dan inovasi alam sekitar di seluruh Asia Tenggara.
“Buat julung kali, kita mencuba untuk mencatat rekod ASEAN dengan EV nasional yang merentasi sembilan negara sejauh 9,000 kilometer dalam tempoh 35 hari.
“Kami ingin membuktikan bahawa EV boleh dipandu merentasi negara ASEAN tanpa menghadapi masalah berkaitan stesen atau infrastruktur pengecasan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual pada Jumaat.
Beliau berkata dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perjalanan bersejarah ini turut disertai dua model Proton siri X bersama Proton e.MAS 7 yang menjelajah rantau ASEAN.
Azrul turut memaklumkan bahawa konvoi itu dijadualkan menamatkan penjelajahannya di Pameran Auto Malaysia 2025 yang akan berlangsung di MAEPS Serdang pada 8 Mei.
Terdahulu, Kedutaan Malaysia di Thailand menganjurkan majlis pelepasan konvoi di Bangkok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial