WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MTCC 2025 MULA GEGAR LITAR SEPANG HUJUNG MINGGU INI

02/05/2025 06:00 PM

SEPANG, 2 Mei (Bernama) -- Kejohanan Malaysia Touring Car Championship (MTCC) 2025 membuka tirainya hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan saingan pusingan pertama bermula hari ini hingga Ahad.

Sebelum ini dikenali sebagai Siri Kejuaraan Malaysia (MCS), MTCC tampil dengan penjenamaan baharu serta penyertaan pelumba antarabangsa dari Malaysia, Singapura, Jepun, Australia, Hong Kong dan Macau.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata penjenamaan semula itu bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya satu langkah strategik untuk memperkukuh landskap sukan permotoran negara serta memperluas capaian kejohanan ke peringkat serantau.

“Kami memperkenalkan kelas perlumbaan yang lebih jelas, peraturan teknikal terkini dan penekanan kepada kereta turbo bagi selari dengan trend sukan permotoran global. Dengan 53 penyertaan sudah disahkan untuk pusingan pertama, ini permulaan yang sangat positif,” katanya pada sidang media di SIC hari ini.

Hujung minggu ini turut menyaksikan kemunculan semula Kejohanan F4 Asia Tenggara, Asia Classic Car Challenge/Caterham Series serta penampilan sulung Porsche Sprint Challenge Indonesia sebagai acara sokongan. Secara keseluruhan, sebanyak 82 kereta dijangka beraksi.

Azhan berkata MTCC 2025 kini dibahagikan kepada lima kelas utama iaitu Malaysia Touring 1 (MT1), Touring Production 1 (TP1), Touring Production 2 (TP2), serta dua kelas baharu di bawah Malaysia Touring 2 -- MT2V dan MT2G -- yang diwujudkan bagi memantapkan persaingan serta kejelasan kategori.

“Mulai musim ini, hanya kereta yang disediakan khas untuk perlumbaan dan berdasarkan model pengeluaran dibenarkan. Kategori TP2 pula kini terbuka kepada model prestasi baharu seperti Toyota 86 dan Subaru BRZ -- membuka ruang kepada bakat baharu menyertai perlumbaan,” katanya.

Dalam pada itu, SIC turut menzahirkan komitmen berterusan terhadap pembangunan akar umbi khususnya dalam melahirkan bakat tempatan termasuk penyertaan pemandu wanita dalam sukan permotoran empat roda.

“Kami berharap MTCC mampu berkembang menjadi kejohanan bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja menarik lebih banyak penyertaan luar negara, malah turut mendapat liputan penyiaran lebih meluas,” katanya.

Menurut beliau, juara keseluruhan musim lalu, Jonathan Xie dari pasukan Skuber Race Team turut disahkan kembali menyertai saingan kali ini sekali gus menambah daya saing kejohanan.

Sementara itu, peminat yang ingin menyaksikan perlumbaan secara langsung boleh mendapatkan Pas Paddock untuk tempoh tiga hari pada harga RM100 manakala Pas Hospitaliti MTCC selama dua hari ditawarkan pada harga RM318.

Kalendar MTCC 2025 diteruskan dengan Pusingan 2 pada 25 hingga 27 Julai, Pusingan 3 (8 hingga 10 Ogos) dan kemuncak musim pada 5 hingga 7 Sept — kesemuanya dijadual berlangsung di SIC.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan