WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LELAKI JATUH BOT KETIKA SAUK KERANG DITEMUKAN LEMAS

02/05/2025 04:55 PM

BATU KAWAN, 2 Mei (Bernama) -- Lelaki yang dilaporkan terjatuh daripada bot ketika menyauk kerang di Kilometer 4.2 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini semalam, ditemukan lemas hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata Ismail Ahmad, 28, ditemukan pada 9.40 pagi berhampiran sangkar ikan Sungai Udang, oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Kaedah pencarian di permukaan air menemukan mangsa sekitar dua kilometer daripada lokasi dia terjatuh dan mayat dibawa ke Jeti Batu Musang di sini dan diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi SAR hari ini melibatkan lima bot dengan pencarian dibahagikan kepada empat sektor, dikoordinasikan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan dibantu JBPM, polis marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi disertai 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) daripada Bagan Jermal dan Butterworth serta pasukan bomba sukarela (PBS), ditamatkan pada 11.05 pagi.

Ismail dilaporkan terjatuh daripada bot sekitar 10 pagi semalam, selepas bot dinaikinya melanggar tiang bernombor 274 di jambatan itu. Ketika kejadian, bapa dan rakan mangsa juga berada di lokasi, namun mereka menaiki bot berbeza.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan