WILAYAH - SABAH > BERITA

PMR 2025 SABAH: LEBIH 200 PERKHIDMATAN UNTUK RAKYAT DIBAWA KE TAWAU

02/05/2025 04:27 PM

TAWAU, 2 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah menawarkan lebih 200 perkhidmatan secara langsung kepada pengunjung sepanjang penganjurannya di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) selama tiga hari bermula pada 9 Mei ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Mohd Zammidi Mohd Asri berkata penganjuran PMR juga bertujuan mendapatkan maklum balas penambahbaikan yang boleh dilakukan selaras agenda reformasi perkhidmatan awam.

“Di Tawau, kita membawa lebih 200 perkhidmatan, seolah-olah membawa UTC (Pusat Transformasi Bandar) di PMR. Kita turut menyuntik elemen baharu (pada program itu), di samping meneruskan elemen PMR sedia ada. 

“Selain program di Dataran MPT, kita juga melaksanakan lima lagi program di sekitar Tawau, contohnya program perpaduan,” katanya pada temu bual Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

PMR 2025 Sabah dengan tema "Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan" itu diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah. 

Selari dengan tema itu, Mohd Zammidi berkata konsep keusahawanan ditonjolkan dalam pengisian program, yang bukan hanya membantu usahawan sedia ada, tetapi juga memberi pengetahuan kepada penduduk untuk keluar daripada zon kemiskinan.

“Kita ada program Halal Success KUSKOP bagi mempromosi usahawan dalam bidang halal bagi menggalakkan pemain industri di Sabah melibatkan diri dalam program berkenaan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata antara pengisian program ialah jualan murah, aktiviti fun run, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, konsert artis dan pameran makanan setempat.

Pelaksanaan PMR yang bermula sejak 2023 menurut Mohd Zammidi, diteruskan lagi susulan kejayaan penganjurannya termasuk rekod cemerlang menarik kehadiran 1.8 juta pengunjung pada PMR 2024 selain turut menjana pendapatan usahawan terlibat.  

“Harapan kita apabila program ini diadakan, kita bukan hanya menyantuni rakyat, tetapi juga dapat menangani isu di kawasan itu melalui maklum balas rakyat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan