WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INTERNET PANTAS DI KAWASAN PELANCONGAN LONJAK PROMOSI TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

01/05/2025 10:21 AM

Oleh Khatijah Jistoh

SANDAKAN, 1 Mei (Bernama) -- Ketika negara giat bersiap sedia menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), keperluan  terhadap kemudahan digital - khususnya perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi dan penyediaan Wi-Fi menjadi keutamaan bagi meningkatkan pengalaman pelancong sekali gus memperkukuh  industri pelancongan negara.

Pengusaha The Elopura Hotel Sandakan Datuk Md Afendi Hamdan berkata penyediaan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi di lokasi pelancongan utama seperti Sepilok, akan membuka ruang kepada pelancong untuk berkongsi pengalaman secara langsung di akaun media sosial mereka.

“Perkongsian oleh pelancong di media sosial secara tidak langsung membantu mempromosikan kawasan pelancongan negara dan Tahun Melawat Malaysia 2026, sebab itu kita memerlukan liputan Internet laju seperti di Sepilok ini.

“Pelancong yang datang melihat Orang Utan di Sepilok lebih kurang dua juta orang setiap tahun, dan di bahagian Rainforest Discovery Center (RDC) sahaja ada 70,000 pengunjung sebulan, manakala 90 peratus pengunjung pula adalah dari luar negara," katanya kepada Bernama.

Terletak kira-kira 23 kilometer dari bandar Sandakan, RDC berada di lokasi strategik yang berhampiran dengan dua tarikan utama iaitu Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok yang ikonik dan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo.

Pada Sabtu lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat telekomunikasi meneliti serta merangka penyelesaian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan Internet di kawasan pelancongan Sabah menjelang 2026.

Md Afendi berkata akses Internet yang pantas dan stabil membolehkan pelancong memuat naik gambar dan video ke platform seperti TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube, yang seterusnya membantu mempromosikan Sabah secara lebih meluas.

“Kalau ada Wi-Fi percuma disediakan di kawasan pelancongan, itu lagi bagus. Maknanya kandungan bagus ini akan cepat disebarkan, macam di Sepilok ini ada aktiviti skywalker, night safari dan canopy walk pada waktu malam. Saya percaya dengan promosi melalui Internet, kemasukan pelancong akan bertambah,”  katanya.

Beliau berkata liputan Internet yang lebih baik boleh memberikan impak positif terhadap ekonomi setempat termasuk perhotelan, rangkaian minuman dan makanan serta pengangkutan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Konservator Hutan (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Perhutanan Sabah Indra Purwandita H Sunjoto turut menyuarakan keperluan penambahbaikan infrastruktur digital di Sepilok, khususnya untuk menyokong perkhidmatan berasaskan digital dan transaksi dalam talian.

"Bukan kita kata tiada Internet tetapi terdapat ruang untuk diperbaiki. Perkhidmatan berasaskan ‘e’ ini pening tapi memerlukan capaian Internet yang pantas, misalnya pelancong masih menghadapi kesukaran menggunakan perkhidmatan e-hailing seperti Grab di kawasan ini,

Beliau berkata selaku pentadbir sumber semula jadi Sepilok, jabatan berkenaan sedang beralih ke perkhidmatan digital secara berperingkat, termasuk bayaran tanpa tunai (e-pembayaran) yang lebih berkesan dengan akses Internet stabil dan pantas khususnya di sekitar RDC.

"Jabatan Perhutanan Sabah selaku pentadbir yang mengurus sumber Sepilok ini juga dalam proses beralih perkhidmatan berasaskan ‘e’ misalnya e-payment sebab itu kami sangat berharap capaian Internet di Sepilok khususnya RDC ini ditingkatkan," katanya.

Menurut Md Afendi, selama ini pihaknya kerap menerima komen daripada pengunjung terutama di media sosial berkaitan capaian Internet di Sepilok yang perlahan.

Pemandu pelancong Jamiliah Omar, 35, berkata masalah Internet ini memberi kesan besar kepada perkhidmatannya, malah dia sering menerima permintaan dari pelancong untuk mencari kawasan mempunyai liputan Internet yang baik.

“Pelancong terpaksa meluangkan masa mencari kawasan dengan liputan lebih baik, yang sepatutnya boleh digunakan untuk aktiviti lawatan,” katanya, menyambut baik seruan menteri dan berharap isu itu akan ditangani.

Siti Hajar Md Amin, 38, seorang peniaga makanan turut berkongsi pengalaman pelancong berdepan kesukaran untuk membuat pembayaran tanpa tunai menggunakan kod QR kerana akses Internet tidak stabil.

“Pelancong selalunya tidak akan bawa tunai yang banyak jadi mereka selalu bayar guna digital, banyak guna kod QR. Bila tiada Internet, kami terpaksa kongsikan hotspot di telefon bimbit sendiri walaupun ada risiko keselamatan. Jika tidak, memang hilang jualan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan