WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEBAKARAN ASRAMA: JKR TUNGGU KEBENARAN BOMBA UNTUK LAKUKAN PENILAIAN TEKNIKAL - NANTA

30/04/2025 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) masih menunggu kebenaran rasmi pihak bomba sebelum dapat menjalankan sebarang penilaian teknikal di blok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak di sini yang terbakar pada Isnin lepas.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata mengikut prosedur operasi standard (SOP), siasatan awal mesti diselesaikan pihak bomba terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca kebakaran dan memastikan keselamatan kawasan terjamin.

"Selepas itu barulah mana-mana agensi teknikal, termasuk JKR dibenarkan masuk untuk membuat penilaian lanjut dari aspek struktur dan keselamatan bangunan.

"Saya memberi jaminan bahawa sebaik sahaja pihak bomba memberi lampu hijau, pasukan teknikal JKR akan segera turun ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nanta berkata penilaian berkenaan penting bagi menentukan tahap kerosakan dan seterusnya mencadangkan langkah pembaikan atau pembangunan semula yang sesuai.

Beliau berkata pihak kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan serta semua agensi berkaitan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan warga sekolah terus diberi keutamaan.

"Saya mengambil maklum dan amat bersimpati dengan insiden ini. Kejadian seperti ini sememangnya amat membimbangkan terutamanya apabila melibatkan keselamatan pelajar, guru serta kakitangan sekolah.

"Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya yang turut memaklumkan insiden berkenaan antara perkara dibincangkan pada mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Kerja Raya hari ini.

Media pada Isnin melaporkan sebuah blok asrama SMK Tinggi Setapak di sini yang menempatkan kira-kira 91 pelajar lelaki, terbakar sehingga mengakibatkan kemusnahan sebanyak 80 peratus bahagian bangunan berkenaan.

Dalam kejadian itu, kesemua pelajar dilaporkan selamat kerana berada di surau sekolah menunggu waktu isyak.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan