WILAYAH - UTARA > BERITA

POLIS TAHAN EMPAT INDIVIDU, RAMPAS DADAH BERNILAI RM100,500

30/04/2025 08:29 PM

BUKIT MERTAJAM, 30 April (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM100,500 dalam dua serbuan berasingan di Bukit Mertajam dan Seberang Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata operasi yang dilancarkan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bermula pukul 7 hingga 10 pagi itu menahan empat individu berkenaan, termasuk pasangan kekasih yang kesemuanya berusia 26 hingga 47 tahun.

“Polis pada mulanya menahan mereka di tepi jalan dan kedai di kawasan Seberang Jaya sebelum dibawa ke sebuah rumah di sini yang dijadikan stor menyimpan pelbagai jenis dadah milik sindiket itu.

“Dalam serbuan di rumah itu, polis merampas satu bungkusan plastik hitam mengandungi heroin seberat 5,048 gram (g) bernilai RM48,000, beg merah yang terdapat lapan paket heroin (2,956g bernilai RM28,800), syabu 706g (RM18,000), 156g ganja (RM4,680), 3,184g kafein (RM1,020) yang kesemuanya bernilai RM100,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil risikan mendapati kegiatan pengedaran dadah oleh sindiket itu dijalankan sejak akhir tahun lepas, dan mereka mendapat bekalan daripada rangkaian pengedaran dadah sebelum membungkusnya semula dalam kuantiti kecil serta menjual untuk pasaran di sekitar Pulau Pinang.

Susulan penahanan mereka, Hamzah berkata polis turut menyita sebuah kereta Perodua Alza, masing-masing satu motosikal Yamaha LC dan Y15ZR serta barangan kemas yang kesemuanya bernilai RM75,990.

Beliau berkata suspek yang ditahan adalah seorang penganggur, dua buruh manakala wanita warga asing pula bekerja di sebuah kilang. Ujian air kencing pula mendapati dua lelaki itu positif dadah dan tiga daripadanya mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 6 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata seorang ketua penyelia kilang di Bayan Lepas kerugian RM558,000 selepas lelaki berusia 57 tahun itu menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud dalam talian yang diiklankan menerusi Facebook.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki itu semalam yang memaklumkan melihat iklan pelaburan saham pada Februari lepas dan berhubung dengan suspek menerusi WhatsApp sebelum dijanjikan pulangan keuntungan lima hingga 15 peratus dalam tempoh tiga hari.

“Mangsa membuat 29 transaksi pemindahan wang ke dalam 10 akaun berbeza dan mula menyedari diperdaya apabila suspek berjanji membuat pembayaran keuntungan RM1.2 juta ke dalam akaunnya pada 24 hingga 25 April lepas, namun tidak menerimanya,” katanya.

Hamzah berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan