WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA KETUAI AICHR RANGKA PELAN HAK ASASI MANUSIA MASA DEPAN

29/04/2025 11:38 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) kini di peringkat akhir merangka Pelan Kerja Lima Tahun 2026-2030, yang bertujuan memperkukuh perlindungan dan pemajuan hak asasi manusia di Asia Tenggara dalam menghadapi cabaran serantau dan global yang semakin kompleks.

Pengerusi AICHR merangkap Wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon berkata pelan kerja baharu itu, apabila dimuktamadkan, akan menjadi rangka kerja strategik bagi membimbing aktiviti AICHR untuk tempoh lima tahun akan datang selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 serta pelbagai Pelan Tindakan Strategik di bawah rangka kerja ASEAN.

Beliau berkata landskap global yang pantas berubah menjadikan pelan kerja ini penting untuk menangani ancaman keselamatan bukan tradisional yang kian muncul seperti kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, pemindahan paksa, status tanpa kerakyatan dan krisis pelarian - semuanya berkait rapat dengan isu hak asasi manusia.

“Pelan kerja ini amat penting kerana ia akan menentukan hala tuju dan masa depan hak asasi manusia di rantau ini.

“Ia sebahagian daripada struktur ASEAN, dan apabila diluluskan kelak, ia akan dibentangkan kepada para Menteri Luar ASEAN semasa Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) pada Julai ini di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Bon berkata pelan itu turut memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan institusi dan tadbir urus AICHR, mempertingkat kerjasama dengan badan kebangsaan serta memastikan pelaksanaan dan pemantauan dasar yang lebih berkesan, dengan tetap menghormati prinsip ASEAN yang berteraskan konsensus dan tidak campur tangan.

Beliau turut menekankan kepentingan komitmen politik daripada semua negara anggota ASEAN serta keperluan untuk memperkasa pendekatan hak asasi manusia dalam badan sektoral ASEAN bagi menjamin kejayaan dan kesinambungan inisiatif hak asasi melepasi tempoh pengerusian Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Program Sekretariat Kumpulan Kerja Mekanisme Hak Asasi Manusia ASEAN, Maria Paula Villarin menyambut baik kepimpinan Malaysia dan menyatakan keyakinan bahawa pelan kerja baharu itu akan merangkumi langkah lebih kukuh ke arah ketelusan, penglibatan masyarakat sivil dan mekanisme komunikasi yang lebih tersusun.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun beroperasi secara tidak rasmi, Kumpulan Kerja tersebut telah lama memperjuangkan mekanisme hak asasi manusia yang berwibawa di ASEAN sejak 1996, serta bekerjasama rapat dengan pelbagai badan ASEAN termasuk AICHR, Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan AMM.

Villarin berkata antara perkara yang memerlukan penambahbaikan segera ialah ketelusan dalam proses AICHR, termasuk usaha menjadikan laporannya boleh diakses umum.

Beliau turut menggesa supaya mekanisme komunikasi AICHR - iaitu proses yang membolehkan individu, kumpulan atau organisasi mengemukakan laporan pelanggaran hak asasi manusia untuk pertimbangan AICHR - diperkukuh, memandangkan ia masih dalam peringkat perbincangan.

Villarin menekankan bahawa pertubuhan masyarakat sivil (CSO), terutamanya yang tidak memiliki status perundingan rasmi, perlu dilibatkan dalam dialog serantau agar dasar yang digubal mencerminkan realiti di peringkat akar umbi.

“AICHR boleh memainkan peranan penting sebagai jambatan antara CSO di peringkat akar umbi dan pembuat dasar ASEAN. Kami sedar bahawa proses membuat keputusan AICHR memerlukan konsensus, tetapi mewujudkan lebih banyak ruang dialog akan mengukuhkan legitimasi inisiatif hak asasi ASEAN,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menyuarakan harapan agar kepimpinan proaktif Malaysia akan menjadi contoh kukuh kepada pengerusi AICHR yang akan datang untuk terus membina mekanisme yang lebih terbuka dan inklusif.

“Kepimpinan Malaysia adalah satu permulaan yang baik. Namun ujian sebenar ialah sama ada wakil-wakil seterusnya akan terus memperjuangkan penglibatan lebih luas, ketelusan dan perlindungan hak asasi manusia. Itulah harapan yang tersemat dalam pelan kerja ini,” tambahnya.

Draf akhir Pelan Kerja Lima Tahun AICHR (2026-2030) dijangka dimuktamadkan menjelang Mei atau Jun sebelum dibentangkan kepada para Menteri Luar ASEAN semasa AMM pada Julai ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan