WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKTA PSB BERI PELUANG PEMILIK DAPAT RUMAH SELESA, LUAS DAN BERDAYA HUNI - NGA

29/04/2025 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) memberi peluang kepada pemilik rumah sedia ada untuk mendapatkan unit penggantian yang baharu, selesa dan berdaya huni, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming. 

Beliau berkata ia selaras dengan syarat ‘no less favourable’ yang termaktub dalam akta PSB iaitu pemlik mesti menerima unit baharu yang lebih baik daripada unit asal. 

“Sebagai contoh, jika unit pemilik sekarang bersaiz 450 kaki persegi dan bernilai RM200,000, unit baharu yang ditawarkan mungkin lebih luas atau lebih contohnya bernilai RM400,000. Apa yang jadi masalah jika tujuan utama kami (kerajaan MADANI) adalah untuk membantu rakyat?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Ekspedisi Pembaharuan Semula Bandar (XPDC PSB) bersama Ahli-Ahli Parlimen yang turut dihadiri Timbalan Menteri KPKT Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib, di sini hari ini. 

Nga berkata ekpedisi PSB itu antara lain bertujuan memberi kefahaman kepada Ahli Parlimen mengenai kepentingan Akta PSB khususnya impak kepada golongan miskin bandar.

“Tadi saya telah melawat sendiri penduduk Flat Kuchai Jaya, mereka bukan sahaja bersetuju malah minta agar PSB dipercepatkan kerana mereka berada dalam keadaan terdesak. 

“Setakat ini lebih 90 peratus daripada penduduk di kawasan tersebut telah memberi persetujuan bertulis untuk melaksanakan projek pembangunan semula. Bagaimanapun, oleh kerana tiada akta PSB membuatkan semua projek tidak dapat dilaksanakan dan tergendala,” katanya. 

Beliau berkata syarat ambang persetujuan pemilik di bawah Akta 757 kini memerlukan persetujuan 100 peratus dan sekiranya seorang tidak bersetuju, projek tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana menyalahi undang-undang.

Media sebelum ini melaporkan pindaan Akta PSB menggariskan syarat ambang persetujuan pemilik bagi pembangunan semula bangunan berusia lebih 30 tahun akan diturunkan kepada 75 peratus manakala bagi bangunan berusia kurang daripada 30 tahun, ambang kekal pada 80 peratus.

Nga berkata setakat ini, kementerian telah melaksanakan 79 sesi libat urus secara menyeluruh melibatkan pelbagai pihak dalam tempoh dua tahun termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum pembentangan rang undang-undang itu pada sesi Parlimen yang dijadual bermula 23 Jun ini.

Beliau bagaimanapun meluahkan rasa kesal berikutan ketidakhadiran Ahli Parlimen pembangkang. 

“Seperti yang kita sedia maklum terdapat beberapa pihak yang cuba mempolitikkan isu ini. Untuk makluman saya telah mengeluarkan jemputan khas kepada seluruh Ahli Parlimen termasuk pihak pembangkang PN. Mula-mula mereka janji nak datang tapi pada waktu kita adakan ekspedisi seperti ini mereka gagal hadir,” katanya.

Lawatan kerja XPDC PSB itu melibatkan lawatan ke empat tapak yang terdiri daripada dua tapak usang dan tidak selamat untuk didiami rakyat iaitu Flat Sutera, Taman Desa Bakti Selayang dan Flat Kuchai Jaya Blok A Taman Kuchai Jaya manakala dua tapak lain ialah tapak yang telah berjaya dibangunkan semula iaitu 1 Razak Mansion, Salak Selatan dan Residensi Kerinchi, Bangsar South.

Sementara itu, seorang penduduk Flat Kuchai Jaya Kamil Jalil, 62, yang telah menetap di kawasan tersebut hampir 30 tahun berkata masalah utama yang dihadapi adalah lif rosak, tahap kebersihan yang teruk akibat penyewa warga asing serta kekurangan tempat letak kenderaan. 

“Hari-hari saya turun dengan tangga. Kalau sakit memang alternatif kita dukung turun tangga sebab memang lif rosak. Saya harap isu ini dapat diselesaikan segera dan harap menteri dapat bincang dengan pemaju untuk tingkatkan fasiliti,” katanya yang juga seorang peniaga nasi lemak. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan