WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA UNGGULI PENILAIAN OPEN DATA INVENTORY 2024/25

29/04/2025 08:12 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Malaysia melakar sejarah apabila berjaya menduduki tempat pertama dunia dalam penilaian Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 198 negara lain dengan skor keseluruhan 90 serta skor keterbukaan data yang cemerlang iaitu 99.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW) hari ini menandakan lonjakan besar buat negara yang sebelum ini berada di kedudukan ke-67 bagi 2022/23.

Beliau berkata kejayaan yang membanggakan itu membuktikan keupayaan negara dalam memperkukuh sistem statistik rasmi dan bersaing di peringkat global.

“Kejayaan ini membuktikan keupayaan Malaysia untuk bersaing di peringkat global dalam aspek keterbukaan dan liputan data rasmi.

"Pencapaian ini juga adalah hasil usaha bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan agensi kerajaan lain yang telah bekerjasama erat dalam menyalurkan data yang tepat pada masanya dan boleh dipercayai,” katanya.

Mohd Uzir berkata penilaian ODIN bukan sahaja mendorong amalan terbaik dalam tadbir urus data negara malah turut memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global dalam aspek ketersediaan data yang lebih terperinci (granular), telus dan penggunaan data secara terbuka.

“Inisiatif ini secara langsung memperkasakan sistem statistik negara melalui penyediaan set data berkualiti tinggi yang serasi dengan keperluan analitik moden selain menyokong inovasi dalam penyelidikan akademik dan memudah cara pembuatan keputusan berasaskan data,” katanya.

Beliau berkata pengiktirafan yang diperoleh negara dalam ODIN 2024/25 turut membuktikan komitmen berterusan DOSM untuk membina ekosistem data yang inklusif, berasaskan fakta serta memacu pembangunan yang mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

"Dengan pencapaian yang signifikan ini, Malaysia menzahirkan komitmen tinggi dalam memperkukuh tadbir urus berasaskan data serta memperteguh kedudukan di peringkat serantau dan global,” katanya.

Laporan penilaian ODIN yang dikeluarkan secara dwitahunan memberi fokus kepada keterbukaan dan liputan data rasmi negara yang dinilai menerusi ketersediaan penunjuk utama, perincian mengikut masa dan geografi serta kemudahan akses kepada data dalam format mesra mesin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan