WILAYAH - SELATAN > BERITA

DUN NEGERI SEMBILAN SENTUH ISU KESELAMATAN LALUAN PAIP GAS, AIR DAN PENDIDIKAN

29/04/2025 08:34 PM

SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Keselamatan laluan paip gas, jaminan bekalan air berterusan dan usaha pemerkasaan pendidikan antara isu dibangkitkan pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Yew Boon Lye (PH-Chuah) berkata soal keselamatan awam bagi laluan paip gas di beberapa kawasan di negeri ini memerlukan pemeriksaan berkala oleh syarikat utiliti dan pihak berwajib, ia susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Selangor baru-baru ini.

"Insiden itu bukan sekadar kemalangan teknikal, tetapi memberi amaran keras tentang risiko pembangunan yang pesat tanpa pengurusan utiliti yang selari. Saya menyeru semua syarikat utiliti segera menjalankan audit menyeluruh terhadap laluan paip, kabel bawah tanah dan sistem sedia ada.

"Kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bomba perlu diperkukuh untuk memastikan peta utiliti dikemas kini dan zon risiko dikenal pasti, pemantauan syarikat utiliti, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PBT juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan tiada kerja korekan tanpa kelulusan dilakukan," katanya ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada persidangan berkenaan.

Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) turut menggesa pihak berwajib mengambil perhatian serius berkaitan keselamatan paip gas di Sendayan, Seremban dan Port Dickson terutama kawasan perumahan dan industri yang memerlukan pemantauan rapi.

Beliau mencadangkan satu pelan mitigasi keselamatan laluan paip gas diwujudkan termasuk pemantauan berkala, larangan pembakaran terbuka di radius berisiko serta pemasangan penanda laluan paip gas yang lebih jelas.

Berkaitan isu bekalan air, Yew dan Abdul Fatah Zakari (PN-Bagan Pinang) menyuarakan isu berkenaan di negeri ini masih memerlukan penambahbaikan terutama di kawasan perindustrian.

Yew berkata bekalan air merupakan faktor penting dalam pembangunan industri di kawasan Chuah, Port Dickson iaitu bersempadan dengan kawasan pembangunan industri Tanah Merah bagi menjamin keyakinan pelabur di negeri ini.

"Walaupun Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) telah memastikan bekalan mencukupi dan stabil di kawasan itu, kapasiti bekalan hanya mencukupi untuk permintaan semasa sahaja. Saya ingin bertanya, adakah SAINS mempunyai perancangan yang seiring dengan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) bagi memastikan kapasiti pengagihan air secukupnya untuk menyakinkan pelabur?," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fatah menggesa SAINS memperkenalkan sistem lebih responsif termasuk membangunkan aplikasi mudah alih bagi orang ramai membuat aduan dan membolehkan tindakan segera diambil.

"Kita akui pelbagai usaha dilakukan SAINS dalam menyediakan perkhidmatan terbaik tetapi terdapat keluhan terhadap kualiti kerja penyelenggaraan yang perlu diperbaiki, rakyat perlu jaminan agar semua isu berkaitan air dapat ditangani sebaik mungkin, agar tidak membebani rakyat," katanya. 

Mengenai pemerkasaan pendidikan di negeri ini, Suhaimi Aini (BN-Kota) mencadangkan agar Kementerian Pendidikan serta Jabatan Pendidikan negeri ini mempertingkatkan fokus terhadap kecemerlangan akademik dan memperkukuh pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat sekolah rendah serta menengah.

Beliau berkata pencapaian pelajar di negeri ini dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024, yang mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.18, membuktikan keupayaan dan daya saing anak-anak tempatan sekali gus diharapkan pelajar aliran TVET turut menyerlah dalam bidang kemahiran.

“Penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan TVET berupaya melahirkan generasi baharu yang bukan sahaja menguasai pelbagai bidang kemahiran, malah berkeupayaan untuk menguasai bahasa pada peringkat global, khususnya Bahasa Inggeris," katanya.

Muhammad Sufian Maradzi (BN-Seri Menanti) pula berkata bagi memperkasakan pendidikan di negeri ini, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini dicadangkan untuk membantu pelajar dengan menganjurkan kelas tambahan percuma kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

 Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan