WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA KETUAI USAHA DORONG PENGISYTIHARAN ASEAN MENGENAI KEAMANAN, PEMBANGUNAN DAN KELESTARIAN

28/04/2025 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Malaysia menerajui usaha untuk ASEAN menerima pakai satu pengisytiharan bersejarah yang mengesahkan hak kepada keamanan, pembangunan dan kemampanan, bertujuan mengukuhkan hak asasi manusia serta membina komuniti ASEAN yang terangkum dan berdaya tahan.

Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) merangkap Wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon berkata "Pengisytiharan ASEAN Mengenai Pemerkasaan Keamanan, Pertumbuhan Terangkum, Pembangunan Mampan dan Hak kepada Pembangunan" itu dijangka dibentangkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei, seiring dengan penerimaan Visi ASEAN 2045.

"Fokus kami adalah mengaitkan keamanan, pembangunan dan kemampanan sebagai hak yang saling berkait.

Pertumbuhan tidak boleh berlaku semata-mata demi pertumbuhan, tetapi mesti melibatkan semua pihak dan memastikan keamanan yang berkekalan. Malaysia mendorong pengisytiharan ini untuk membimbing tindakan ASEAN pada masa depan," katanya pada sidang media pada Selasa.

Ketika ditanya mengenai prinsip tidak campur tangan ASEAN, khususnya dalam situasi sensitif seperti di Myanmar, Bon menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan perlu mengatasi halangan politik.

Beliau merujuk kepada penghantaran pasukan perubatan Malaysia ke Sagaing, Myanmar, susulan gempa bumi baru-baru ini, dengan bantuan disalurkan selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pihak-pihak di lapangan.

"Ini bukan soal campur tangan tetapi solidariti kemanusiaan. Pendirian Malaysia jelas, kita berpegang kepada Konsensus Lima Perkara ASEAN dan terus memperjuangkan keamanan serta akses kemanusiaan. Keadaan yang selamat dan terjamin untuk petugas bantuan mesti dipastikan," katanya.

Sementara itu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak terhadap Pembangunan Profesor Dr Surya Deva memuji Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 atas usahanya menggerakkan agenda pembangunan berasaskan hak asasi di rantau ini - satu langkah yang boleh menjadi contoh global.

"Kita tidak boleh melihat hak kepada pembangunan hanya dari sudut pertumbuhan ekonomi atau peningkatan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Sebaliknya, kita perlu berusaha mewujudkan kehidupan bermaruah untuk setiap insan, tanpa mengorbankan kelestarian alam sekitar atau meningkatkan ketidaksamaan," katanya.

Surya menegaskan bahawa pencapaian pembangunan yang terangkum dan mampan memerlukan penglibatan menyeluruh daripada masyarakat.

"Jika kita benar-benar mahu mencapai pembangunan terangkum dan mampan, ia memerlukan penyertaan rakyat secara aktif, bebas dan bermakna dalam proses membuat keputusan," katanya.

Buat pertama kali sejak AICHR ditubuhkan, Malaysia membuka pembangunan Pelan Kerja Lima Tahun seterusnya (2026 hingga 2030) untuk konsultasi bersama masyarakat madani dan pihak berkepentingan.

Malaysia mencadangkan agar ASEAN menyelaraskan agenda hak asasi manusia dan pembangunan dengan Visi ASEAN 2045, dengan menetapkan matlamat strategik yang mengutamakan keamanan, keterangkuman, kemampanan dan daya tahan di seluruh rantau ini.

Konsultasi Kedua AICHR selama dua hari itu menghimpunkan pihak berkepentingan daripada tiga tonggak Komuniti ASEAN untuk memberi input awal terhadap draf pengisytiharan dan meneroka strategi mengintegrasikan hak asasi manusia ke dalam rangka pembangunan ASEAN.

Inisiatif Malaysia ini selaras dengan Terma Rujukan AICHR, termasuk meningkatkan kesedaran hak asasi manusia, melibatkan pihak berkepentingan dan membangunkan pendirian bersama ASEAN mengenai hak asasi manusia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan