WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDUSTRI KREATIF MAMPU KUKUHKAN HUBUNGAN MALAYSIA-INDONESIA, KATA DUTA BESAR

28/04/2025 10:05 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, April 28 (Bernama) -- Industri kreatif Malaysia, khususnya dalam bidang filem dan drama, berpotensi menjadi jambatan baharu dalam memperkukuh hubungan budaya dengan Indonesia, menurut Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Bercakap semasa menerima kunjungan hormat daripada pengarah tersohor Malaysia, Erma Fatima atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad dan delegasi, beliau berkata kekuatan penceritaan dan nilai budaya yang dikongsi bersama mampu merapatkan hubungan kedua-dua negara.

“Suatu ketika dahulu, Malaysia dan Indonesia mempunyai program pertukaran budaya yang dikenali sebagai Titian Muhibah, anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Televisi Republik Indonesia (TVRI) dan Radio Republik Indonesia,” katanya.

Syed Mohamad Hasrin berkata program ini menjadi platform memperkenalkan seni, budaya dan memperkukuh hubungan dua hala secara berterusan, namun ia kini tidak lagi diteruskan, sekali gus meninggalkan kekosongan dalam hubungan budaya yang pernah terjalin erat.

“Sudah tiba masanya untuk kita menghidupkan kembali era keakraban antara Malaysia dan Indonesia. Melalui pelbagai inisiatif kreatif, kita mampu membina jambatan baharu yang mengukuhkan lagi rasa serumpun dan semangat Nusantara,” katanya.

Karya tempatan yang paling berjaya menembusi pasaran Indonesia setakat ini ialah animasi Upin dan Ipin, yang bukan sahaja mendapat tempat terutamanya di hati penonton cilik, malah menjadi ikon budaya Malaysia yang dikenali di seluruh Indonesia.

“Kejayaan animasi Upin dan Ipin membuktikan bahawa kandungan berkualiti tinggi dan dekat dengan nilai masyarakat serantau mempunyai potensi besar untuk diterima di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Malaysia kini boleh berbangga drama bersiri terbaharu, Bidaah, yang diterbitkan oleh Rumah Karya Citra Sdn Bhd  milik Erma mampu menjadi platform penting untuk mempereratkan lagi hubungan budaya dengan Indonesia.

“Kita berharap karya-karya tempatan yang mengetengahkan nilai bersama akan menjadi asas hubungan erat Malaysia-Indonesia serta memperbaharui semangat kerjasama budaya dalam era moden ini,” kata Syed Mohamad Hasrin.

Sejak tayangannya bulan lepas, Bidaah telah menjadi drama paling banyak ditonton di Viu, sebuah platform penstriman dalam talian, dengan lebih daripada 2.5 bilion tontonan di platform digital dan media sosial di Malaysia dan Indonesia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan