WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROSIDING SEMAKAN KEHAKIMAN NAJIB UNTUK DOKUMEN TAMBAHAN DITANGGUH

28/04/2025 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan agar semua prosiding berkaitan kewujudan dokumen tambahan, yang membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di rumah, ditangguhkan.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara, yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, selepas Ahmad Hanir memaklumkan mahkamah mengenai perkembangan dalam prosiding terdahulu membabitkan dokumen sama di Mahkamah Persekutuan pagi tadi.

Hayatul Akmal kemudian menetapkan 3 Julai ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Ahmad Hanir memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah memberikan kebenaran kepada Peguam Negara untuk merayu berhubung kewujudan dokumen itu, yang pendengarannya ditetapkan pada 1 dan 2 Julai ini.

"Panel hakim Mahkamah Persekutuan telah menasihati kami untuk mendapatkan nasihat dan memohon penangguhan bagi semua prosiding terbabit di Mahkamah Tinggi.

"Kedua-dua pihak (AGC dan pasukan pembelaan Najib) telah membincangkan perkara itu dan bersetuju bahawa semua prosiding di Mahkamah Tinggi hendaklah ditangguh sementara menunggu keputusan rayuan terbabit. Justeru itu, kami memohon agar semua prosiding ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan tersebut," katanya.

Muhammad Shafee mengesahkan perkara itu.

Prosiding hari ini dijadualkan mendengar permohonan yang difailkan AGC pada 20 Jan lepas bagi perintah larangan bersuara membabitkan kewujudan dokumen tambahan itu.

Pada 6 Jan lepas, melalui keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang dikatakan membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit kes.

Keputusan ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terdahulu, yang telah menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berkaitan dokumen tambahan yang didakwa tersebut.

Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Datuk Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi pada mulanya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan